Isu bumbung stadium runtuh: Cukup-cukuplah Najib dengan kes mahkamah tu, jangan tambah lagi

Oleh KIM SYAZIE

Najib Razak masih ingin bercakap tentang banyak perkara seolah-olah masih lagi perdana menteri Malaysia. Beliau berlagak kononnya beliau masih relevan dan disanjung oleh rakyat.

Semasa menyentuh tentang isu stadium Shah Alam yang di war-warkan kononnya akan dibina semula, Najib Razak telah mengaitkan isu stadium Terengganu dan memaparkan nama saya begitu jelas dengan bulatan merah, sebagai arkitek stadium tersebut bersama dengan ulasan kenyataan negatif seolah-olah saya bersalah berhubung masalah bumbung stadium yang telah runtuh.

Siaran Najib Razak itu sangat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, dibuat tanpa menyiasat hal sebenar untuk memberi gambaran buruk kepada saya sebagai arkitek.

Politik longkang murahan Najib Razak, seorang bekas perdana menteri, cuba memburukkan nama saya sebagai seorang arkitek amat dikesali.

Bumbung stadium yang telah runtuh dilaksanakan secara ‘design and built‘ oleh pihak kontraktor Korea yang bertanggungjawab sepenuhnya atas reka bentuk dan pembinaan bumbung tersebut.

Kedua-dua badan profesional Lembaga Arkitek Malaysia dan juga Pertubuhan Arkitek Malaysia telah mengeluarkan surat rasmi melepaskan saya dari tanggungjawab atau kesalahan dalam isu tersebut.

Anehnya pihak kerajaan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak pernah siasat atau memanggil kontraktor Korea yang mereka bentuk dan membina bumbung tersebut.

Untuk makluman, pegawai penguasa projek stadium adalah JKR sebagai wakil kerajaan yang bertanggungjawab dengan kuasa penuh ke atas kontrak tersebut.

Walaupun ada cubaan pihak tertentu kerajaan BN pada masa itu cuba kambing hitamkan dan menyalahkan saya, yang pada masa itu telah menjadi ahli politik pembangkang, mereka tidak berjaya.

Ini kerana ada bukti surat-surat saya kepada JKR dan kontraktor di mana saya telah menegur berkali-kali secara bertulis berhubung kesalahan cara pembinaan yang telah dilaksanakan kontraktor.

Jika Najib masih berminat untuk cuba tuduh mengkambing hitamkan saya, saya bersedia menunggu untuk menjawabnya

Tapi Najib mesti bersedia mendengar keterangan di mahkamah nanti nama-nama ‘kenalan’ Najib yang akan di sebut dalam perbicaraan nanti. Orang ramai juga akan tertarik untuk mengetahui cerita penuh sebenarnya.

Nasihat saya pada Najib, cukuplah kes-kes mahkamah lain yang sedang kamu hadapi sekarang kerana kamu mungkin tidak ada peluang mengikuti kes lain.

Jangan cepat cuba memburukkan orang lain tanpa usul periksa. Najib perlu ingat kisah “ayam yang berkokok berderai derai, ekor bergelumang dengan tahi”.

Baca juga: 2 persoalan kerajaan perlu jelaskan tentang aset Petronas yang dirampas waris Kesultanan Sulu

Baca juga: “Kita tak nak Malaysia bankrap macam Sri Lanka”- Warganet mahu pemimpin rasuah dijatuhkan segera

Baca juga: Dilamar seperti ratu, dihancurkan seperti debu, wanita nekad cerai selepas kantoi suami ‘gay’