Malaysia Dateline

Kawal dulu ketirisan, naikkan OPR sepatutnya jadi pilihan terakhir kerajaan

Kerajaan sepatutnya mencari inisiatif lain untuk meningkatkan simpanan negara kerana menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sepatutnya menjadi pilihan terakhir kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari menegaskan kenaikan dua kali OPR pada tahun 2022 iaitu 25 basis point pada setiap kenaikan akan menambah bebanan kepada rakyat.

Beliau melihat kenaikan OPR akan memberi kesan kepada ekonomi rakyat yang mempunyai hutang bank terutama dalam sektor hartanah.

“Walaupun tujuan OPR adalah untuk meningkatkan simpanan kerajaan, tetapi dikala ekonomi rakyat yang tidak menentu, kesan kenaikan itu pasti akan memberikan kesan langsung kepada rakyat terutama yang mempunyai hutang bank disektor hartanah.

“OPR sepatutnya pilihan terakhir kerajaan. Banyak lagi inisiatif boleh dilakukan seperti penjimatan, rasionalisasi perbelanjaan opex dan capex serta penggabungan kementerian dan bilangan kementerian, serta bilangan menteri.

“Selain itu buka ruang merancakkan ekonomi dan produktiviti negara. Mengawal ketirisan dan penyeludupan juga boleh meningkatkan hasil dan simpanan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

OPR merupakan penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank.

Terdahulu dilaporkan, Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan OPR bertujuan memastikan kestabilan harga dan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR pada mesyuarat 11 Mei dan 6 Julai lalu, masing-masing naik sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus bertujuan membantu mengelakkan permintaan dalam negeri yang berlebihan, yang boleh menambah tekanan inflasi.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, langkah menaikkan kadar itu juga adalah bagi mengelakkan kenaikan kadar faedah pinjaman bank lebih agresif pada masa hadapan.

Baca juga: Macam inilah nasib rakyat marhaen di KL, ramai mengeluh bersesak dalam LRT pada waktu puncak

Baca juga: Itu pula disibukkan, akta anti lompat parti apa cerita, netizen persoal akta anti-mengendap