Kes Najib: Jangan ada sesiapa bermain dengan kuasa, mempersenda undang-undang

Oleh KIM SYAZIE

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melihat pemenjaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai satu isyarat bahawa sesiapa sahaja termasuk orang kenamaan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mempersenda undang-undang.

Beliau berkata, perbicaraan kes-kes rasuah berprofil tinggi dan hukuman penjara yang dijatuhkan kepada Najib, Datin Rosmah serta bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bukanlah sebab untuk orang ramai bergembira.

Tetapi sebaliknya perlu rasa berdukacita kerana diturunkan bala dalam bentuk pemimpin-pemimpin yang jahat dan bala tersalah memilih ketua.

Mereka mungkin sedang atau akan membayar hutang perbuatan keji mereka di belakang pagar besi tetapi menurut tokoh wartawan itu, rakyatlah yang terpaksa memikul beban perbuatan mereka. Malah makan, pakai dan perubatan dalam penjara pun rakyat yang tanggung.

“Kita boleh berbangga dengan keazaman Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pilihannya untuk membawa kes-kes rasuah profil tinggi ke muka pengadilan walaupun sempat mentadbir selama 22 bulan sahaja sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa luar Parlimen pada Februari 2020.

“Alhamdulillah kerajaan-kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob tidak campur tangan dalam perbicaraan mereka walaupun ada tekanan ke arah itu.

“Ini, sedikit sebanyak, membuktikan yang kelakuan politik (political behaviour) kita selepas kekalahan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berubah menjadi lebih baik” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pagi ini,

Sementara itu dari sudut ekonomi pula, kerosakan institusi, beban hutang dan kos projek-projek mega yang mereka tinggalkan akan mengambil masa yang panjang dan perbelanjaan yang banyak untuk diselesaikan. Hutang 1MDB yang sebanyak RM50.75 bilion itu akan hanya habis dibayar balik pada 2039 iaitu 24 tahun dari sekarang.

Contohnya hutang KWAP RM9.2 bilion, Pembinaan PFI Sdn Bhd RM25 bilion dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) termasuk kos pengambilan tanah serta faedah pinjaman lebih RM66 bilion dan banyak lagi. Tidak kira parti dan perdana menteri mana memerintah, hutang ini wajib dibayar kerana ia diambil atas nama kerajaan.

Dari segi psikologi pula kata Kadir, perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin ini dan ahli keluarga mereka telah, secara khusus, menyebabkan orang Melayu sendiri hilang keyakinan kepada Umno manakala orang ramai amnya mula tawar hati terhadap politik.

“Banyak orang tidak percaya lagi kepada ahli politik dan proses pilihan raya. Aliran ini sangat bahaya kerana boleh membawa kepada pembentukan kerajaan minoriti yang dipilih oleh sebilangan kecil pengundi sahaja. Harapan kita, undi 18 akan menyegarkan semula persekitaran politik dan melahirkan barisan pemimpin pewaris yang berwibawa.

“Jadi janganlah pula ada sesiapa bermain dengan api dan mempersendakan undang-undang dan kuasa. Mohd Najib sudah masuk penjara. Dia wajib di situ seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara. Jangan lagi dibeza-bezakan antara rakyat biasa dengan orang kenamaan,” katanya lagi.

Baca juga: Penjara bukan jalan penyelesaian, peguam kongsi ada pesalah dilepas tapi kena buat khidmat masyarakat

Baca juga: ‘Masuk showroom BMW berselipar jepun tak dilayan, lepas tabur RM100,000 tunai berebut salesman datang’