Konon pakai iPad tapi bertimbun juga fail – Sindiran pemimpin Pas akhirnya ‘makan’ diri

Oleh ARIF ATAN

Kalau dah benci dan sombong, meja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim penuh fail pun dipandang serong.

Pas nampaknya cuba membandingkan keadaan meja pemimpin mereka yang menerajui kerajaan negeri Terengganu kononnya lebih kemas tanpa timbunan fail.

Antaranya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Riduan Mohd Nor apabila membandingkan keadaan meja di pejabat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dalam tatanan rapi.

Malah, dalam perbandingan “di antara dua darjat” yang ditulisnya, Riduan menyatakan Anwar sebagai pemegang Ijazah Sastera Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), orator tegar dan populis.

Sebaliknya, Riduan memuji Ahmad Samsuri dengan menulis Naib Presiden Pas itu pemegang PhD aeroangkasa dari United Kingdom, non orator dan realist.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Syam Ghaz membidas sindiran Riduan dengan menegaskan bahawa tanpa hasil royalti petroleum, Menteri Besar Terengganu dan Kelantan diyakini sebagai pemimpin kerajaan negeri pertama bertemu dengan Anwar.

“Bukti nyata dan jelas, jika rujuk Buku Belanjawan Terengganu 2022, amat jelas Terengganu bergantung penuh 84.9% kepada Hasil Bukan Cukai (termasuk Royalti).

“Belanjawan Terengganu bagi tahun 2022, jumlah semua adalah RM1.507 bilion, tetapi royalti petroleum adalah RM1.28 bilion (terima hasil bukan cukai).

“Mereka (Kerajaan Negeri Terengganu) cuma perlu cari RM227 juta sahaja duit luar selain royalti bagi tahun 2022. Kerja tak penat pun, lantik tunggul kayu pun boleh jika setakat goyang kaki terima duit royalti setiap tahun,” bidasnya.

Syam yang juga Pengasas NGO Royalti Kelantan dan Royalti Malaysia turut mengingatkan bahawa royalti Terengganu diberi semula ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

Dalam masa sama, Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim pun dilihat turut ‘mengambil bahagian’ dalam menyindir Perdana Menteri.

“Mesyuarat Exco Terengganu kita tak ada file bertimbun. Dari awal bentuk kerajaan tahun 2018, kita guna e-paper dalam iPad,” katanya bangga.

Walau bagaimanapun, netizen dilihat berjaya ‘membongkar’ hantaran Azman pada 22 November 2020 lalu yang berkongsikan fotonya di hadapan fail menimbun.

#image_title

Baca juga Menjelang 19 Disember: Ini 9 perkara anda perlu tahu tentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim