Malaysia Dateline

Korporat, NGO sertai kempen naik ‘bendera putih’ untuk yang perlukan bantuan

Kempen naikkan “bendera putih jika ada perlukan bantuan makanan dan keperluan” naik satu anak tangga lagi apabila syarikat-syarikat korporat, pengeluar makanan, rangkaian kedai runcit dan NGO menyertai kempen ini.

Speedmart 99, Vit’s, Tanah Aina Cafe, BMS Organics, Dapur CheMek, Baan Thai Restaurant dan banyak lagi turut menyertai kempen ini.

Mana-mana pihak yang menyaksikan bendera putih dinaikkan di mana-mana rumah boleh sahaja memaklumkan kepada syarikat korporat pengeluar makanan, rangkaian kedai runcit dan NGO ini.

Wakil mereka akan menghantar bakul makanan yang mereka sediakan terus ke rumah berkenaan atau pihak yang terputus bekalan makanan boleh datang terus ke kedai atau pejabat mereka untuk mendapatkan bakul makanan tersebut.

Kempen menaikkan bendera putih untuk mereka yang terputus bekalan makanan ketika musim PKP Penuh ini di mulakan oleh netizen.

Pemimpin politik yang paling awal menyambut kempen ini dan mengajak orang ramai berbuat demikian adalah Ketua Wanita Pakatan Harapan, Senator Aiman Athirah Aljundi apabila beliau membuat kenyataan rasmi mengajak pihak yang terputus bekalan makanan berbuat demikian.

Posting yang dibuat oleh Nik Faizah apabila memulakan kempen Bendera Putih untuk yang memerlukan bantuan makanan dan keperluan.

Astro Awani pula mendapati Timbalan Ketua Wanita AMANAH Kelantan, Nik Faizah Nik Othman antara netizen yang paling awal mencadangkan idea ini.

Mohd Latif dalam postingnya di Facebook menulis, “Terima kasih kepada Pn. Nik Faizah Nik Othman @ Kak Jah kerana mencetuskan idea #kibarbenderaputih demi kebaikan masyarakat hari ini..sekurang kurangnya cetusan idea ini memberi kelegaan dan dapat membantu masyarakat dalam situasi sangat mencabar hari ini.”

Namun kempen ini dibantah oleh Pas melalui dua ustaz muda mereka termasuk ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz yang menolak idea ini dan mencadangkan ‘cukup dengan doa kepada Allah” sahaja.

Ustaz muda Pas, Syed Kadir Aljofre juga menolak idea ini namun posting beliau di facebook mendapat serangan segera dari para netizen.

Sejak itu, kempen menaikkan bendera putih menjadi trending perbincangan dalam masyarakat kerana ia disifatkan sebagai idea terbaik untuk membolehkan masyarakat membantu segera mereka yang memerlukan.