Malaysia Dateline

Lelaki menyesal menang loteri RM14 juta, rimas orang tidak dikenali sering datang minta wang

Kejadian berlaku di India apabila dilaporkan seorang penduduk negara itu akui menyesal selepas memenangi wang loteri sebanyak £2.9 juta atau RM14.2 juta.

Dilaporkan, selepas memenangi wang itu, dia kerap diganggu oleh orang ramai yang meminta wang selain menerima perhatian melampau daripada media.

Lapor portal luar negara, Firstpost, keterujaan lelaki dikenali sebagai Anoop itu tidak berkekalan lama apabila orang yang tidak dikenalinya pun turut meminta wang daripadanya.

“Saya rasa lebih baik tidak menang. Mungkin tempat ketiga lebih baik.

“Saya amat gembira apabila menang dan terdapat ramai orang dan pihak media di rumah. Kami gembira ketika itu,” kata Anoop.

Bagaimanapun, keadaan berubah buatnya apabila perhatian berlebihan pihak media menyebabkan pintu rumahnya sering diketuk setiap pagi.

Walaupun pada awalnya dia menikmati liputan yang diberikan kepadanya dan keluarga, namun saban hari keadaan itu tidak terkawal menyebabkan dia sendiri tidak dapat keluar dari rumah.

Bahkan pada ketika anaknya sakit, dia tidak dapat menghantar anaknya berjumpa doktor.

“Hidup saya tidak lagi tenteram kerana rumah kami sering didatangi oleh orang ramai yang meminta wang daripada kami untuk membantu mereka.

“Saya terpaksa bertukar-tukar tempat tinggal. Saya tinggal di rumah saudara perempuan, namun orang tetap tahu alamat rumah itu,” ujarnya.

Sementara itu dia turut memberitahu sedang merancang untuk berpindah rumah untuk mengelak perhatian orang.

Baca juga: Kes pengkid pakai pakaian ihram dah selesai bulan lepas rupanya

Baca juga: Peniaga dakwa ditipu hidup-hidup, bayar tapak RM1,200 tapi tanah berlopak, pengunjung tak ada