Perkongsian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Facebook baru-baru ini mengejutkan ramai apabila Skuad Jejak Asnaf di bawah jabatan itu berjaya membongkar gaya hidup sebuah keluarga yang dikatakan memerlukan bantuan zakat tetapi mampu tinggal di kondominium mewah.
MAIWP berkata, hasil aduan orang awam berkenaan keluarga yang memerlukan bantuan telah membawa skuad itu kepada sebuah kondominum mewah yang dipercayai merupakan tempat tinggal pasangan memerlukan itu.
Secara pratikalnya menurut MAIWP, sesebuah keluarga yang sedang bergelut dengan masalah kewangan tidak akan mampu menghuni kediaman mewah sedemikian, apatah lagi ia disewa secara bulanan.
“Bertindak atas aduan awam yang diterima, MAIWP menerusi Skuad Jejak Asnaf telah turun menjejaki sebuah keluarga yang dikatakan memerlukan bantuan zakat. Setibanya di lokasi, kami didatangi perasaan terkejut apabila melihat nilai hartanah di tempat tersebut.
“Kebanyakan daripada mereka memberikan alasan untuk tinggal di tempat berikut adalah disebabkan faktor keselesaan dan keselamatan keluarga selain lokasinya berdekatan dengan sekolah anak.
“Hasil dapatan maklumat yang diperolehi, menyatakan mereka ini menghuni di kediaman tersebut dengan bayaran sewa secara bulanan. Bukannya rumah pusaka mahupun menerima ehsan tinggal percuma daripada orang lain,” katanya.
Susulan itu, MAIWP menegur mereka di luar sana yang terkesan atau berada dalam kesempitan hidup agar bersedia untuk menurunkan gaya dan cara hidup.
Jabatan itu menegaskan agar asnaf perlu bijak menentukan antara keperluan dan juga kehendak seiring dengan kemampuan semasa.
“MAIWP sentiasa ada untuk membantu bagi meringankan beban dan kesusahan hidup yang mereka alami,” ujarnya lagi.
Baca juga: Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya! kata veteran demonstrasi selepas Rosmah disahkan bersalah
Baca juga: Mulai 1 Sept, 159,000 pekerja gaji rendah di Singapura akan dibayar paling kurang RM4,500 sebulan