Jabatan Penjara tidak membenarkan mana-mana banduan termasuk banduan berprofil tinggi seperti Datuk Seri Najib Razak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun ianya berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim yang berkata, bekas perdana menteri itu sama seperti banduan lain yang sedang menjalani hukuman penjara, dan sebarang surat mahupun kenyataan perlu melalui tapisan penjara terlebih dahulu.
“Kenyataan tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana banduan. (Najib) tidak dibenarkan mengeluarkan apa-apa kenyataan malah surat yang dikeluarkan, dokumen yang dikeluarkan pun ditapis terlebih dahulu.
“Nak hantar surat kepada keluarga, nak uruskan apa pun perlu ditapis oleh pihak penjara (Jabatan Penjara Malaysia) dahulu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada penyandang Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan atau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai PRU15 yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhammad sebagai berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman penjara itu tidak dibenarkan keluar berkempen untuk PRU15.
Katanya, Najib tertakluk kepada Akta Penjara dan peraturan selain prosedur operasi standard jabatan itu.
Sementara itu Supri Hashim menambah, Jabatan Penjara ialah jabatan kerajaan yang tidak terlibat dengan mana-mana politik dan warganya akan terus menggalas tanggungjawab diamanahkan tidak kira kerajaan yang memerintah
Baca juga: Bukan setakat turap jalan je, inilah masa yang paling sesuai untuk ‘bodek’ calon-calon YB
Baca juga: 21 juta rakyat dijangka turun mengundi, inilah masa untuk pilih kerajaan baru