Mengapa orang agama mesti marah-marah, ‘memVIPkan’ masjid?

Oleh ARIF ATAN

Inilah sebahagian masalah yang membelenggu sebahagian orang agama. Ego, rasa diri suci, rasa diri sentiasa betul dan anggap orang lain sentiasa salah.

Oleh kerana dalam Islam tiada autoriti untuk orang agama mengampunkan dosa orang lain, tiadalah upacara pengampunan dosa oleh orang agama.

Namun begitu, setakat ini sudah ada orang agama yang tidak meredhai tindakan orang lain dan orang lain kena datang jumpa orang agama untuk minta maaf.

Sebelum ini, saya pernah dengar orang agama yang tidak menghalalkan ilmu yang diajarnya. Puncanya, pendengar “ilmunya” tidak bersedia menjadi pengikut setianya.

Ada satu klip video khutbah Jumaat di Kedah (daripada loghat cakap), seorang khatib “marah-marahkan” jemaah yang komplen tidak boleh hadir solat Jumaat.

Nampak emosi sekali gaya khutbah khatib muda itu. “Sibuk tidak boleh solat Jumaat, tapi jemaah Subuh ada 10 orang. Kenapa tidak datang Subuh?”, leternya.

Orang ramai tidak akan kalut untuk berebut hadir solat Jumaat jika solat itu boleh dibuat di rumah bersama anak isteri. Takkan khatib tidak faham isu mudah macam itu?

Rasanya khatib itu faham (kalau dia fahamlah) isu itu, tapi nampaknya, sebagai orang agama, khatib itu berkeras untuk mencari kesalahan orang lain.

Meleteri jamaah

Sepatutnya, orang agama yang diberi autoriti jaga masjid mencari jalan menyelesaikan masalah itu. Bukan mencari kesalahan orang lain.

Orang agama tidak perlu marah-marahkan orang ramai, apatah lagi menyalahkan mereka. Mimbar Jumaat tidak patut digunakan untuk meleteri jamaah.

Pernah saya dengar khutbah Jumaat di sebuah masjid di Mesir. Khatibnya seorang syekh besar. Beliau membaca beberapa potong ayat al-Quran, beberapa potong hadith dan menghurainya dengan mudah.

Tenang hati mendengar khutbah sebegitu. Tiada pekik-pekik, tiada hentak-hentak tongkat dan tiada jegey biji mata kepada makmum. Wahyu yang didengar begitu mendamaikan.

Isu panas, iaitu isu imam sebuah masjid yang tidak redha dan meminta orang lain datang minta maaf kepadanya. Mengapa imam – orang agama bersikap begitu?

Tidak bolehkah orang agama memberi respon sesuatu isu itu dengan tenang, memberi pencerahan dengan baik serta berjanji untuk memperbaiki kelemahan pengurusan yang berlaku?

Mengapa, apabila jadi orang agama saja, mesti kelihatan bengkeng? Asal jadi orang agama saja, orang lain sentiasa salah? Orang agama maksum? Orang agama sentiasa dalam hidayah?

Kamonlah…! Kita bukan lagi hidup di zaman orang ramai hormat orang agama – tok guru pondok sampai sanggup beri anak dara untuk dikahwini. Zaman itu sudah berlalu.

Jika orang agama mahu dihormati, mesti smart dalam pengurusan. Punya skill komunikasi yang bagus. Bijak merungkai masalah dan pintar mengemukakan solusi.

Agama bukan candu dan orang agama bukan penjual atau pengedar candu. Kerja orang agama bukan mengkhayalkan – membodohkan orang lain dengan agama.

Agama adalah rahmat. Orang agama adalah pembawa rahmat. Bagaimana agama ini akan dipandang indah jika akhlak orang agama tidak mencerminkan agama sebagai rahmat?

Apabila berkuliah di masjid, mulut orang agama begitu beracun. Apabila diberi kuasa mengurus masjid, orang agama ‘memVIPkan’ masjid. Apa nak jadi dengan masjid dan agama kita?

Semasa PH jadi kerajaan, inilah sebahagian isi kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin. Tapi orang tidak nampak ketika itu. Kami pun tidak punya kesempatan cukup untuk menjelaskannya.

Semoga tuhan mengampuni dan menghidayahi kita semua lantaran kelalaian dan keterlanjuran ini.