Malaysia Dateline

MetMalaysia nafi bakal berlaku banjir besar hujung November ini

Kecoh di media sosial mendakwa hujan lebat berterusan akan berlaku mulai pertengahan November ini dan akan bakal membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Susulan penyebaran amaran tersebut yang berlegar di media sosial sejak beberapa hari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tampil menafikan perkara berkenaan dan menjelaskan bahawa ianya kurang tepat.

Ini kerana, pihaknya tidak dapat menjangkakan bila ianya boleh berlaku dan jabatan itu tidak mempunyai kaedah tepat untuk meramalkan banjir lebih awal seperti yang hangat diperkatakan.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh November hingga Mac depan, MetMalaysia hanya boleh mengeluarkan ramalan dan amaran antara satu hingga tiga hari sebelum ia berlaku.

“Setakat ini kita atau mana-mana negara pun tidak mempunyai kaedah saintifik untuk meramalkan berbulan lebih awal sebelum kejadian, namun kita tidak menolak kemungkinan berlaku episod hujan lebat yang signifikan.

“Untuk ramalan dua bulan lebih awal banjir besar berlaku (November) memang tak ada kaedah tepat. Kita tidak tahu bila, berapa besar dan lokasi yang akan teruk terjejas,” kata Ketua Pengarah Jabatan MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Dewan Wawasan Markas (Smart) anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Namun katanya, pemantauan teliti tetap akan dilakukan setiap masa bagi memastikan sebarang kemungkinan bencana dapat diuruskan dengan baik.

“Kami akan tingkatkan pemantauan cuma kami hanya boleh dikeluarkan amaran seawal satu ke tiga hari lebih awal. Menjadi tanggungjawab kami untuk perbetulkan persepsi bahawa banjir berkala besar akan berlaku penghujung November ini,” katanya.

Baca juga: “Aku nak tuntut dari tuan-tuan yang jaga Kelantan”-Pemuda bengang kualiti air teruk, tiap hari terpaksa beli air mesin

Baca juga: Akhirnya terbongkar punca penculikan ejen kosmetik, suami terbabit aktiviti seludup dadah