Mufti kata tiada hukum jelas dalam al-Quran melarang umat Islam sebut RIP

Oleh KIM SYAZIE

Semenjak kematian Ratu Britain pada 8 September lalu, isu ucapan Rest In Peace (RIP) kembali diperdebatkan orang ramai yang was-was sama ada ucapan itu dibenarkan atau tidak.

Disebabkan masih ada kekeliruan dalam isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah menjelaskan bahawa mengucapkan RIP adalah dilarang dan ia termaktub di dalam nas yang jelas.

Bagaimanapun menjawab pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ucapan tersebut sebenarnya dibolehkan jika tiada niat untuk mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi roh yang bukan Islam.

katanya, disebabkan tiada bukti bertulis atau peruntukan teks dalam hadis atau al-Quran yang melarang umat Islam mengucapkan RIP kepada bukan Islam, setiap pandangan ulama juga boleh berbeza, lapor FMT baru-baru ini.

Menurut Wan Salim lagi, tiada hukum jelas dalam al-Quran yang melarang umat Islam menyebut perkataan RIP (bersemadi dengan tenang).

“Bergantung kepada niat, apa niat kita kata macam itu? Kita kata RIP itu bermaksud dia sudah tidak lagi memikul bebanan hidup, terutama sebagai ketua negara besar macam tu (Ratu Elizabeth II).

“Jadi, kalau niat macam tu tak mengapa atau dia meninggal dunia, maknanya kesihatan yang dialaminya di hujung hayat dah berakhir, maka dia amanlah. Tetapi, apa yang dilarang adalah untuk kita berdoa kepada Allah merahmati dan mengampunkan dosanya. Itu tidak boleh, sebab itu bukan orang Islam,” katanya.

Baca juga: Momen aksi Syihan Hazmi selamatkan gawang Malaysia tular, dipuji penonton luar negara

Baca juga: Kes ugut rider sebab lambat hantar makanan: Kakitangan IPT swasta dikenakan tindakan disiplin