Siapa je tak gembira bila dapat gaji pertama. Orang kata walaupun sikit itulah hasil penat lelah kita dan rasa teruja nak bagi duit pada ibu bapa di kampung tu lain sikit perasaannya.
Sama seperti gadis ini yang memberitahu dia baru sahaja dapat gaji pertama. Tapi nasib tidak menyebelahi untuk dia menghantar duit kepada ibunya selepas tersalah memindahkan wang ke akaun orang lain.
Dalam rakaman video yang dikongsikan seorang pengguna Facebook di laman Kisah Kita, gadis tersebut menceritakan dia pada mulanya mahu membuat kejutan pada ibunya. Dia juga teringat nombor akaun yang pernah diberi ibunya. Tanpa dia lakukan semakan kali kedua, dia terus memasukkan wang ke akaun tersebut.
Semasa membuat transaksi pemindahan wang, dia mengakui cuai kerana tidak melihat nama pemegang akaun tersebut. Dia hanya menyedari tersalah masukkan wang selepas ibunya memberitahu nama di dalam resit adalah nama orang lain.
“Kononnya nak surprise mak aku..Dulu aku pernah tolong mak aku buat payment, mak aku pernah hantar nombor akaun tu. Aku semangat sangat nak bank in duit tu, aku pi bank in dekat akaun tu. Aku tersilap nombor akaun. Aku tak check pun nama yang aku bank in tu.
“Lepas tu aku bagi lah resit tu kat mak aku, aku kata ‘mak ni gaji pertama bulan ni. Tak banyak tapi adalah nak bagi’. Tiba-tiba mak kata bank in dekat siapa, mak tak dapat pun. Tu nama orang lain tu,” luahnya.
Dia kemudian menghubungi orang tersebut untuk meminta semula wang berkenaan tetapi mendakwa pemilik akaun itu agak payah nak balas mesej di WhatsApp dan menjawab panggilan telefon.
Dia kemudian memberitahu bahawa pemilik akaun tersebut meminta untuk dia sedekah sahaja wang tersebut.
“Aku bukan tak nak sedekah, tapi aku dah niat nak bagi mak aku,” katanya sambil menangis.
Luahan tersebut mengundang simpati ramai kerana memahami apa yang dilalui gadis itu. Namun ada juga yang menegur kecuaian gadis itu sendiri dan menasihatkan agar selepas ini lebih berhati-hati.


Sebenarnya boleh buat laporan polis
