Malaysia Dateline

Pakar kewangan nasihat anak muda bersedia dengan ‘exit plan’, ekonomi gig tidak akan bertahan lama

Pakar kewangan menyarankan pekerja di dalam sektor ekonomi gig untuk bersedia dengan ‘exit plan’ atau merancang jalan keluar bagi berdepan dengan kemelesetan ekonomi menjelang tahun 2023.

Menurut Dr Azizul Azli Ahmad, era ekonomi gig tidak akan bertahan lama memandangkan para penghantar makanan kini sudah mula berdepan dengan situasi sukar apabila pendapatan lumayan yang diperoleh satu ketika dahulu tidak lagi sama seperti hari ini.

Difahamkan, ekoran jumlah penghantar makanan yang semakin bertambah, ramai yang mengeluh sukar memperoleh walau hanya RM100 biarpun sudah bekerja selama 12 jam.

Melihat perkara ini, Dr Azizul berkata, apabila ekonomi semakin perlahan, pengguna akan mula berjimat cermat dan tempahan makanan akan mula berkurangan.

Beberapa bulan sebelum memasuki tahun 2023, beliau beranggapan bahawa ini adalah masa untuk mencari dan mengumpul duit sebanyaknya.

“Era gig economi ini tidak akan bertahan lama. Akan sampai masanya ia berakhir. Selepas ini akan berperang dengan era IR 4.0 pula. Semua benda robot ambil alih.

“Jika ini (gig) punca utama pendapatan kita, perlu bersedia dengan exit plan menjelang tahun 2023 nanti. Jadikan pendapatan sambilan tidak mengapa.

“Buat duit banyak-banyak dan cepat-cepat. Jangan lupa simpan waktu dapat duit banyak. Langit tak selalunya cerah. Bila ekonomi perlahan, permintaan tempahan makanan juga akan berkurangan.

“Pengguna akan jimat 30 peratus dari kos makanan,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Justeru, beliau menyarankan agar mereka yang masih muda untuk sambung belajar dan tambah ilmu di dada supaya golongan belia boleh kekal bernilai sepanjang masa.

“Beberapa negara maju dah mula gunakan drone untuk penghantaran makanan mereka. Kita perlu bersedia anak muda,” tambahnya lagi.

Baca juga: Restoran chef terkenal caj air mineral RM36 sebotol, tapi bayar gaji pekerja RM1,500?

Baca juga: Lelaki dakwa keturunan Nabi, Azhar Idrus kata “setakat mari majlis Maulid Nabi, tak bagi mudarat”