Pegawai KDN didakwa terima suapan lebih RM100,000 termasuk skuter XMAX

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa menerima suapan lebih RM100,000 termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha XMAX atas balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan projek di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu.

Muhammad Syamsi Irwan Hawalit, 47, berhadapan empat pertuduhan menerima suapan.

Dia didakwa menerima suapan itu secara berasingan di mana dia menerima wang tunai berjumlah RM80,000 dan sebuah Motosikal Yamaha XMAX bernilai RM22,200 daripada Hafiz Ismail, pemilik Fizwa Global Resources dan Najib Rashdan, secara berasingan.

Suapan itu adalah sebagai balasan mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan memotong rumput, mencuci pejabat, bilik kuliah dan parit bernilai RM1.6 juta yang dianugerahkan kepada syarikat itu di Serdang dan Kajang, Selangor.

Kesalahan itu dilakukan antara Jun 2017 hingga 18 Mac 2019 di Serdang dan Kajang dan ketika kejadian tertuduh merupakan Penolong Setiausaha di Bahagian Perolehan KDN, Gred M44.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozillah Salleh.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Ruzilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua empat pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Baca juga: Konsep mudahkan urusan orang lain ini bantu trafik lebih lancar tapi mengapa ada pemandu tidak amalkan?

Baca juga: Siapa tokoh ulama Dr Yusuf Al Qaradawi? Hafal 30 juzuk di usia 9 tahun selepas 7 tahun yatim piatu