Malaysia Dateline

Penjenayah dilindungi dari pendakwaan jika rapat dengan orang politik berkuasa

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertuduhan pecah amanah terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan perkembangan yang tidak baik kepada negara.

Ketua Pembangkang berkenaan berkata, pendakwaan menjelang pembukaan sidang Parlimen itu seolah-olah menyampaikan mesej ‘selamat’ untuk melakukan jenayah.

“… ia secara tidak langsung memberi isyarat kepada bakal-bakal penjenayah untuk mencipta hubungan yang lebih dekat dengan orang-orang politik yang berkuasa bagi mendapat perlindungan dari pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan setiap kali sidang Parlimen semakin hampir, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperalat apa sahaja untuk membuli wakil rakyat dari blok pembangkang.

Situasi itu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berkemungkinan kerana gentar sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan di Parlimen nanti.

“Usaha-usaha jelek ini akan berterusan tanpa henti selagimana mereka masih lemah dan tidak punya majoriti yang cukup di Parlimen,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan.

Untuk rekod, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September diikuti mesyuarat kedua bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember iaitu selama 32 hari.

Sementara itu, Sidang Khas Dewan Rakyat selama lima hari bermula jam 10 pagi pada 26 hingga 29 Julai ini dan 2 Ogos 2021.

Bahkan, Anwar berkata, beliau juga telah dimaklumkan oleh beberapa Ahli Parlimen bahawa kerajaan PN turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk mendukung kerajaan gagal mereka dengan kedudukan dan perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan.

“Masa dan ketika tatkala YB Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa agar siasatan terhadap Syed Saddiq yang juga Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dijalankan dengan telus dan profesional.

“Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salahguna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen,” tambah Anwar lagi.

Untuk rekod, kerajaan PN pada masa ini hanya didukung 77 kerusi Parlimen manakala blok pembangkang menguasai 143 kerusi susulan keputusan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Daripada 77 kerusi kerajaan PN itu, terdapat 32 kerusi Parlimen Bersatu yang diterajui Mahiaddin, Pas (18) dan STAR satu Parlimen.

Kerajaan PN juga disokong Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18), Bebas (3), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS, PBS.