Baru sahaja reda dengan aduan pengunjung berhubung isu lori tunda di Ekspo MAHA 2022, ekspo berkenaan sekali lagi menimbulkan isu agak sensitif apabila pengunjung mendakwa MAHA 2022 membenarkan promosi rokok elektronik iaitu vape secara besar-besaran.
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Muinuddin Dzulkifli, mendedahkan bahawa syarikat vape adalah salah satu penaja terbesar untuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) kali ini setaraf dengan penganjur FELDA.
Dia turut meluahkan rasa terkejut apabila melihat shuttle bus di ekspo berkenaan terpampang dengan iklan vape, siap ada beberapa booth yang menjual rokok elektronik tersebut.
Untuk info, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi penguatkuasaan Rang Undang-Undang Produk Tembakau dan Merokok 2022. RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu, diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu.
“Promosi vape di MAHA 2022. Saya terkesima sebenarnya. Apa kaitan MAHA 2022 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri (MAFI) dengan vape?
“Boleh ke seseorang di MAFI bagitahu bagaimana syarikat Vape jadi antara penganjur terbesar MAHA 2022? Setaraf dengan penganjur seperti FELDA?
“Booth jual vape besar ada sebelah Hall A. Malah di kaunter tunggu bas / tram pun ada. Paling hebat iklan besar balut tram (shuttle bus).
“Semua lapisan masyarakat hadir ke MAHA 2022 daripada petani ke Perdana Menteri malah DYMM Sultan terutama kanak-kanak dan remaja. This is a complete mockery of government efforts.Betul kan YB Khairy Jamaluddin dan Kementerian Kesihatan?
“Pilih pilihlah penaja baik sikit, jangan kelabu mata duit penaja!,” katanya.
Meninjau reaksi pengunjung berkenaan ekspo MAHA kali ini, ternyata ramai yang mendakwa terlihat beberapa booth vape di pameran MAHA dan mengecam kejadian seumpama itu dibenarkan oleh kerajaan.
“Baru balik dari MAHA, memang terkejut tengok booth vape merata-rata. Tak payah share gambar brand kot, buat jadi indirect marketing pula untuk depa,” tulis pengguna Facebook.
Perkara sama turut diluahkan pengunjung lain yang mempertikai apa kaitan MAHA dengan produk vape. “Baru pergi MAHA 2022 semalam. Serius nampak banyak booth dan trak jual produk vape kat sana. Confuse kejap. Tak tahu lah apa kaitan vape dengan produk Agriculture,”.
Sementara itu meninjau ke halaman NCIG Malaysia yang merupakan syarikat pengeluar rokok elektronik tempatan, dapat dilihat mereka ada menguar-uarkan poster mengajak orang ramai menghadiri booth vape mereka dalam eskpo MAHA 2022.
Poster mereka terlihat lebih tertumpu kepada ajakan berhenti merokok dengan cara beralih kepada vape.
Apa kata anda?
Baca juga: Dakwa kuliah Subuh bising sangat, lelaki mengamuk rampas mikrofon surau dan menjerit pada penceramah
Baca juga: Agung mahu rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau