Malaysia Dateline

Ramai berkumpul di rumah PM malam tadi

Penulis blog Datuk Zaharin Mohd Yasin memberitahu kediaman peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dikunjungi ramai orang malam tadi.

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu berpendapat Mahiaddin perlu meletak sahaja jawatan lantaran kegagalan mengawal pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai rakyat terjejas.

“Khabarnya ramai berkumpul di rumah peribadi Mahiaddin Yasin di Bukit Damansara malam ini (tadi).

“Tak payah bincang apa lagi. Letak sahaja jawatan. Awak (Mahiaddin) dah total gagal. Malaysia kena diuruskan oleh orang cerdik dan bukan oleh orang yang mengaku bodoh,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat kembali riuh dengan Sidang Khas Parlimen selepas tujuh bulan sepi ekoran pelaksanaan darurat.

Ahli Parlimen pula hanya dibenarkan berbahas tetapi hanya diberi tempoh lima minit.

Kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan kemudiannya mengundang kegemparan apabila memberitahu Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh Kabinet pada 21 Julai.

Mahiaddin pula tidak hadir pada sesi penggulungan perbahasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebelah petang.

Akibatnya, tindakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang menjawab bagi pihak Perdana Menteri dlihat menambah rasa tidak puas hati pembangkang.

Sehubungan itu, Zaharin mengingatkan Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk segera meninggalkan Putrajaya.

“Jangan dah mati puluhan ribu, terjangkit melebihi dua juta, baru nak letak jawatan. Kau dan Zafrul boleh berambus dari Putrajaya dan gerbang kuasa,” bidasnya lagi.

Semalam, pecah rekod jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tertinggi iaitu 1,009 orang termasuk 524 pesakit bergantung nyawa dengan bantuan alat pernafasan.

Kes kematian harian juga sudah catat rekod tertinggi dengan 207 semalam sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 8,201 kes kematian.

Seramai 1,027,954 orang sudah dijangkiti wabak itu dengan 55 peratus kes dikesan di Lembah Klang manakala terdapat sebanyak 165,840 kes aktif setakat jam 12 tengah hari semalam.