Malaysia Dateline

Rasuah boleh bankrapkan negara, setiap orang tanggung beban rasuah

Tidak kira sama ada seseorang itu pro-Najib dan anggap rasuah yang dia lakukan “ok” atau yang menentang perbuatan rasuah dia, kenyataannya setiap orang tanggung beban rasuah dia.

Beban kewangan dan kerugian ekonomi kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan sangat tinggi. Di negara kita, kerugian akibat rasuah dianggarkan RM47 bilion ikut nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK/GDP) pada tahun 2017 saja.

Jumlah RM47 bilion bahagi dengan penduduk seramai 31 juta pada tahun 2017, setiap seorang – tak kira orang dewasa, kanak-kanak atau bayi – kena tanggung RM1,516.12 setiap kepala.

Duit sebanyak RM47 bilion itu dekat-dekat sama dengan belanja bina Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebanyak RM50.27 bilion.

Banyak negara tak dapat membangun sebab rasuah manakala ada yang terus bankrap. Duit pencen kakitangan awam dan caruman pekerja swasta pun lesap.

Ambil contoh kes rasuah SRC yang sebabkan Mohd Najib Abdul Razak masuk jel. RM42 juta duit SRC masuk akaun peribadi dia. SRC hutang RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Apabila hutang RM4 bilion itu habis dibayar balik, jumlahnya jadi RM9.2 bilion. KWAP ni tabung pencen kakitangan awam. SRC ini asalnya anak syarikat 1MDB.

1MBD lagilah teruk. Pada satu masa hutangnya berjumlah RM50.75 bilion. 1MDB ni dah lama bankrap tak mampu bayar balik hutang. Kenalah kerajaan ambil alih. Bila kerajaan ambil alih jadilah beban kita. Duit cukai kitalah yang kerajaan guna untuk bayar balik hutang 1MDB. Sehingga 31 Disember 2021, baki hutangnya RM38. 81 bilion.

Nasib baiklah Barisan Nasional kalah PRU 2018 maka terbuktilah rasuah sistemik yang dilakukan oleh Najib dan konco-konco dia. Najib dah masuk jel tapi rumah besar Umno/BN masih didiami oleh hantu dan jembalang kleptokrasi.

Kerana rasuah jugalah ekonomi haram di negara kita sangat besar. Ketua pasukan antirasuah bukan kerajaan #RasuahBusters, Hussamuddin Yaacub kata, berasaskan Laporan Integriti Kewangan Global (Global Financial Integrity Report) 2017, Malaysia rugi RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 akibat pengaliran duit haram yang sebahagiannya berpunca daripada kegiatan rasuah. Jumlah ini lebih daripada cukup untuk tampung hutang dan tanggungan hutang kerajaan sebanyak RM1.18 trilion.

Kesimpulannya, kalau kita nak bersihkan negara kita daripada najis rasuah ini, kita tak boleh benar Umno/BN balik berkuasa macam zaman Najib. Umno/BN kena taubat dan bersihkan dirinya daripada rasuah.

Rencana saya dalam akhbar Sinar Harian semalam yang disertakan di bawah boleh memberi pemahaman lebih mendalam. Terima kasih

Gambar kredit Facebook Kadir Jasin

Baca juga: Tolonglah tuntut khairat kematian dari ASB walau baki cuma ada RM10, asalkan ada akaun, masih boleh tuntut

Baca juga: Hakim yang telus menggambarkan proses keadilan yang tidak dibayangi rasa gentar pada sesiapa