Malaysia Dateline

Semua Adun, ahli Bersatu Sabah keluar parti, sokong Anwar

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan meninggalkan parti itu hari ini dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu hari ini.

Tambah Hajiji, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Sambil menyifatkan ia adalah keputusan terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik negeri, beliau dan kepimpinan akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Dua hari lepas, media di Sabah melaporkan, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan sokongan kepada Anwar serta Kerajaan Perpaduan.

Sokongan Hajiji itu turut disahkan oleh Anwar, malah wakil GRS daripada BERSATU Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Situasi itu menyebabkan kedudukan wakil rakyat BERSATU Sabah yang menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan, dilihat janggal kerana pada masa sama mereka juga adalah wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

BACA JUGA ‘Engkau sebar RM600 bilion, sekarang kata mengelirukan’

JUGA Anwar umum senarai 27 Timbalan Menteri – Saiz kurang berbanding era Ismail Sabri, Muhyiddin