Sesi persekolahan 2023 tidak akan bermula pada Januari seperti tahun-tahun sebelum ini, dan akan kekal dibuka pada Mac tahun hadapan seperti yang sudah diputuskan.
Dilaporkan, pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di negeri-negeri Pantai Timur pada hujung tahun susulan musim Monsun Timur Laut.
Selain itu, menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, dengan pelaksanaan takwim sedia ada, sela masa bagi calon SPM yang telah menduduki peperiksaan tidak terlalu panjang seterusnya momentum pembelajaran pada pelajar berkenaan dapat dikekalkan.
“Bulan lain pun ada banjir juga, kita tak nafikan tapi secara umumnya kita tahu di musim monsun kemungkinan berlaku banjir itu tinggi.
“Kita lihat dalam konteks pengurusan peperiksaan antara cabaran paling besar dihadapi Lembaga Peperiksaan adalah untuk menguruskan SPM sewaktu banjir, kadang-kadang menimbulkan banyak perkara teknikal dan menyukarkan pelaksanaan peperiksaan,” katanya memetik Bernama.
Untuk rekod pada tahun ini juga, takwim persekolahan 2022 telah bermula pada Mac, disebabkan beberapa penangguhan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.
Baca juga: Gelandangan hias kaki lima jejantas sebagai bilik tidur, siap sangkut langsir