Malaysia Dateline

Tak apa ke wanita hamil makan durian? Dr Imelda perjelas makan sikit tak salah tapi jangan berlebihan

Setiap kali tiba musim durian, pasti ada ibu hamil dan ibu baru bersalin tertanya-tanya boleh ke makan durian? Adakalanya wanita mengandung mengidam juga untuk merasa seulas dua raja buah ini namun bimbang beri kesan tidak baik pada kandungan mereka.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Imelda Balchin menjawab persoalan tersebut dan menjelaskan, selagi ibu mengandung tiada alergi terhadap buah durian, mereka boleh sahaja makan buah tersebut.

Menurutnya, tiada salah untuk sesiapa sahaja makan durian tetapi mengambilnya dalam kuantiti berlebihan boleh membahayakan kesihatan.

“Jawapan saya ialah sama juga untuk orang yang tak hamil dan tak bersalin. Selagi tiada food allergy kepada durian, durian itu bukanlah racun. Boleh je makan. Durian itu salah satu buah-buahan semulajadi kurniaan Tuhan yang ada pelbagai khasiat.

“Yang anda patut pantang ialah asap rokok, minuman beralkohol, vape, hisap ganja, junk food, suplimen berlebihan yang anda tak perlu, dan produk-produk overclaim,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook miliknya.

Bagaimanapun menurut Dr Imelda, bukan sahaja ibu mengandung bahkan semua peringkat usia juga dinasihatkan untuk berpada-pada ketika menjamu durian dan tidak bersikap tamak.

“Anda semua tiada alasan nak melantak durian dan bersifat tamak haloba. Kalau nak sihat, makanlah berpada-pada dan bersederhana, tidak kira anda tua atau muda, mengandung atau tak mengandung, baru bersalin atau tidak, lelaki atau perempuan, gemuk atau kurus. Sama saja. Makan sikit-sikit dan kongsi dengan orang lain.

“Jangan kata ‘kalau anda orang sihat yang tiada penyakit maka anda boleh makan banyak-banyak’. Tak boleh juga. Jika anda nak kekalkan kesihatan anda, makan sikit-sikit dan kongsi dengan orang lain.

“Tak salah makan durian. Apa-apa pun, makan banyak-banyak berlebihan yang jadi bahaya untuk kesihatan. Yang penting, belajar kawal nafsu, pilih makanan sihat dan jangan lupa bersenam,” katanya lagi.

Baca juga: AMANAH tolak pertemuan dengan Annuar Musa, desak bertindak segera atasi kenaikan harga barang

Baca juga: Universiti mana akan tawarkan ijazah kehormat kepada Tajuddin?

Baca juga: Buat ‘content’ Tiktok tak jaga hati Puteri Sarah, peguam akan siasat kandungan video tersebut