Kepimpinan Umno dilihat seolah melayan anggota tentera secara ‘take it or leave it’ apabila memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pakatan Harapan berkata, dengan terbongkarnya skandal Kapal Tempur Persisir (LCS), pihak yang paling sedih
dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu TLDM.
Menerusi kenyataan bersama PH hari ini, gabungan itu menyentuh tentang kesukaran anggota tentera menjalankan tugas dengan baik selepas panglima TLDM sendiri mendedahkan sehingga 61 peratus aset-aset TLDM adalah usang.
PH melihat apa yang berlaku telah menunjukkan Umno hanya mementingkan projek untuk kroni dan bukannya memenuhi keperluan tentera.
“Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarah reka bentuk LCS ditukar dari SIGMA kepada GOWIND yang dicadangkan oleh pembekal dari Perancis, adalah contoh jelas tragedi “Take it or Leave it” yang berlaku.
“Pembekal dari Perancis ini juga yang membekalkan Scorpean sebelum ini.
“Kami, Pakatan Harapan, berjanji akan menyambung kembali siasatan yang telah dihentikan oleh kerajaan PN dan BN selepas kami dijatuhkan jika rakyat memberikan mandat semula kepada kami dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita juga akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan yang telah dibentangkan sebelum ini.
“Kami akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik untuk menjalankan tugas mereka untuk negara,” kata PH.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.
Baca juga: Taktik ‘delay’ kes dalam permohonan tarik diri peguam