Peranti canggih, Ground Penetrating Radar (GPR) digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, hari ini.
Pengarah Bahagian Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, peranti canggih atau alat pengesan tersebut boleh menembusi tanah sedalam lima meter.
“Ia adalah peranti mudah alih dan yang pertama di negara ini digunakan untuk insiden bencana.
“Bagaimanapun, banyak negara jiran sudah menggunakan peranti itu untuk bencana. Kami berharap peranti ini dapat memudahkan operasi SAR,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara berkenaan ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut beliau, alat itu ditaja oleh Geoventure Solution melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Nadma.
Katanya, pihaknya akan melihat hasilnya sama ada membantu operasi SAR dan mempercepatkan proses penemuan mayat.
Misi SAR memasuki hari ketiga hari ini bagi mencari sembilan lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah tanah akibat kejadian runtuhan cerun, pada Jumaat lepas.
Setakat pagi tadi, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan 61 berjaya diselamatkan.
Baca Juga: Kisah Khalifah yang memuliakan guru