Terus maju, filem 35MM arahan Syahmi Sazli terpilih untuk ditayang di Republik Czech

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah muda dan Youtuber terkenal, Syahmi Sazli berkongsikan khabar gembira kepada pengikutnya mengenai perkembangan terbaru filem 35MM.

Syahmi dalam kemaskini hantaran di Facebook memaklumkan, karya arahannya telah terpilih untuk ditayangkan di sebuah festival filem di Republik Czech.

Dia berkongsikan sendiri informasi berkenaan selepas menerima permohonan dari pihak kedutaan republik berkenaan untuk menayangkan filem 35MM.

“Alhamdulillah. Filem 35MM dipilih untuk tayangan ASEAN+ 3 Filem Festival di Republik Czech. Semoga dipermudahkan,” tulisnya ringkas.

Berdasarkan sedikit informasi yang dikongsi, pihak kedutaan melihat filem 35MM mempunyai budaya dan susun atur Malaysia yang menarik.

Justeru, mereka mahu menggunakannya untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada rakyat Czech mengenai Malaysia.

“Dalam hal ini, pihak kedutaan ingin mengangkat permohonan kolaborasi dengan pihak tuan untuk menayangkan filem ‘35MM‘ dan sebuah filem pendek yang telah memenangi anugerah di Jepun baru-baru ini.

“Filem ini dilihat mempunyai genre yang menarik dalam mengetengahkan budaya dan susun atur Malaysia bagi mendidik kesedaran rakyat Czech mengenai Malaysia,” maklum kenyataan kedutaan itu, seperti yang dikongsi Syahmi.

Selain 35MM, pihak pejabat Kedutaan ACP di ibu negara Czech, Prague juga bakal menayangkan beberapa filem ternama dari negara lain iaitu Bad Genius (Thailand), Yuni (Indonesia), Quezon’s Game (Filipina) dan The Great Myanmar (Myanmar).

Baca juga: Baju sekolah nipis, jarang, bapa sedih dengan kualiti baju sumbangan untuk pelajar

Baca juga: Malakat Mall pernah jadi tumpuan lepas meletup kempen BMF, pemuda ini tunjuk keadaan terkini sunyi tanpa pelanggan