Malaysia Dateline

TikTok larang semua iklan berbaur politik dan kempen kutip dana untuk ahli politik

Pengendali aplikasi TikTok merancang untuk melaksanakan beberapa perubahan membabitkan akaun milik kerajaan, ahli dan parti politik selari dengan matlamatnya untuk membangunkan dasar menggalakkan persekitaran positif dalam kalangan penggunanya.

Perubahan besar dalam menggalakkan persekitaran tersebut adalah TikTok akan melarang sebarang bentuk permintaan untuk mengumpul dana kempen politik.

Larangan baru dalam hal pengumpulan dana ini bermaksud, kandungan (content) yang meminta dana bagi para ahli politik atau kandungan yang mengarahkan orang ke laman dana tertentu, tidak akan lagi diizinkan di platform tersebut.

Selain itu, TikTok juga bakal menguatkuasakan larangan melakukan apa jua jenis pengiklanan berkaitan politik. Bagaimanapun sekatan ini difahamkan baru sahaja berlaku di Amerika Syarikat.

“TikTok berfungsi mengekang maklumat salah yang berbahaya, melarang pengiklanan berkaitan politik dan berkongsi maklumat berwibawa mengenai pilihan raya selain melarang pengewangan untuk kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Larangan ini tidaklah mengejutkan kerana TikTok sudah lama melarang menerbitkan iklan politik di aplikasinya.

Sementara itu TikTok menjelaskan bahawa larangan yang ditetapkan adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan kesemua pengguna mendapat pengalaman positif ketika menggunakan aplikasi itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, TikTok telah lama melarang pengiklanan politik, termasuk kandungan berbayar dan bagi akaun yang mengutip bayaran terus untuk membuat kandungan berjenama.

“Kandungan politik dilarang dalam iklan dan sekatan ini juga kini digunakan pada peringkat (pemilik) akaun.

“Ini bermakna, akses bagi akaun milik ahli politik dan parti politik akan disekat kepada ciri pengiklanan secara automatik, ini sekali gus membantu TikTok menguatkuasakan dasar sedia ada secara konsisten,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dalam situasi tertentu, Tiktok membenarkan kerajaan terbabit dalam aktiviti pengiklanan.

Misalnya bagi menyokong kesihatan dan keselamatan awam serta akses kepada maklumat pengiklanan berkaitan kempen kesedaran bagi dos penggalak Covid-19.

Baca juga: Bella nampak ceria hadir ke mahkamah pakai baju Elsa

Baca juga: Ebit Lew jumpa pelacur di sebuah kelab malam di Jakarta