Malaysia Dateline

Tindakan kerajaan Harapan mulakan dakwaan ke atas Najib, Rosmah berikan hasil hari ini

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah membolehkan rakyat mendengar apa sebenarnya yang berlaku ketika kedua-duanya menjadi pengemudi negara ini dahulu.

Mantan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin, dalam diskusi Kerusi Hangat semalam yang bertajuk, “PH Kencing Manifesto … Betul ke” berkata dari tindakan itulah terhasilnya keputusan hari ini.

“Najib didakwa selepas beberapa bulan sahaja kerajaan Pakatan Harapan memerintah negera ini. Cuma bila didakwa di mahkamah, adalah prosesnya.

“Selepas enam tahun kemudian baru Najib dihukum dan masuk penjara. Tetapi jika tiada pendakwaan, maka mahkamah tidaklah boleh menjatuhkan hukuman,” kata Hanipa dalam diskusi yang disiarkan secara langsung itu secara online itu.

Menurut Hanipa, ketika berada dalam kerajaan dahulu, ramai orang yang beliau temui bertanya, bila lagi hukuman hendak dijatuhkan ke atas Najib.

“Bila lagi Najib nak jatuh hukum ni, kenapa lambat sangat, kata mereka kepada saya.

“Kalau ikutkan hati, saya nak pergi je ke mahkamah yang sedang berlangsung dahulu. Tetapi kalau saya pergi, nanti orang kata kita campur tangan dalam proses mahkamah pula,” kata Hanipa.

Menurut Hanipa, kerajaan Pakatan Harapan sedaya mungkin berusaha untuk melaksanakan segala janjinya dalam manisfesto dan tidak pernah berniat untuk berbohong.

“Tetapi banyak kekangan yang kami hadapi. Umpama masuk ke rumah yang baru kita beli. Hajat dihati kita hendak cat baru dan nak baiki bagi cantiklah.

“Tetapi bila kita masuk, kita dapati banyak sangat kekangannya. Lantai pecah, atapnya bocor dan sebagainya.

“Jadi kita kena baikilah yang itu dahulu, kalau tidak kalau kita cat dahulu nanti, cat itupun akan pudar semula kerana kena air hujan. Jadi kita kena baiki dulu kebocorannya,” jelas Hanipa.

Namun begitu, katanya, kerajaan PH telah mencipta banyak kejayaan dalam melaksanakan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat bahkan isu pelaksanaan manifesto menjadi isu yang paling hangat di kalangan rakyat.

“Bila semua orang bincang tentang pelaksanaan manifesto, ini satu kejayaan untuk demokrasi bagi saya. Mana orang bincang hal sebegini sebelum itu.

“Kita berjaya hapusnya GST sebagaimana yang kita janjikan. Kita berjaya hentikan tindakan mengenakan senarai hitam kepada pemimjam PTPTN dan kita juga berjaya mengapungkan harga minyak mengikut harga pasaran dengan menetapkan harga silingnya,” kata Hanipa.

Menurut Hanipa, kekangan yang paling besar untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan adalah kekangan kewangan selepas kantung kewangan negara bocor ekoran skandal 1MDB.

“Sebab itu, kita bertindak menyekatnya dengan mendakwa orang di belakang skandal ini iaitu Datuk Seri Najib. Inipun termasuk dalam janji kita.

“Saya yakin jika kita tidak dikongkong oleh masalah kewangan, kita akan lebih cepat lagi berjaya melaksanakan manifesto kita.

“Lagipun kita hanya diberikan masa selama 22 bulan sahaja,” kata Hanipa.

Baca juga: Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya! kata veteran demonstrasi selepas Rosmah disahkan bersalah

Baca juga: Inilah sebab kami undi Harapan dahulu, kata penyokong selepas Rosmah diputuskan bersalah