Tular di media sosial apabila 6 kain rentang didapati digantung di tempat awam yang dipercayai dari tindakan tidak puas hati penduduk di Kota Tinggi, Johor mengenai politik dan calon politik Pilihan Raya Umum Ke-15 PRU-15) di kawasan itu
Kain rentang itu dikesan digantung di enam lokasi awam di sekitar daerah tersebut. Kain rentang tersebut antaranya tertulis ‘Umno gagal lahirkan pemimpin watan’ ‘PN anak watan, BN orang luar’ dan ‘Belia Felda tolak calon luar’.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya sedang mengesan individu bertanggungjawab yang menggantung kain rentang berbentuk provokasi sehingga menimbulkan kegelisahan orang awam.
Katanya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan kerana mereka yang berhasrat menggantung kain rentang dan sebagainya di kawasan berkenaan, perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
“Semalam, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya mengesan enam tempat awam yang digantung kain rentang ditulis ketidakpuasan hati penduduk mengenai pemilihan calon PRU-15 oleh sebuah parti politik.
“IPD Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Baca juga: Wajah Bilal anak Neelofa ‘cute’ mula tular, peminat ambil foto curi di kaunter kerajaan
Baca juga: Hasil negara dijangka jatuh, dari mana kerajaan dapat wang untuk belanjawan terlalu besar?