Malaysia Dateline

Twitter akan caj sekitar RM94 sebulan untuk pengguna yang mahu kekal butang ‘verified’

Rangkaian sosial Twitter merancang mengenakan bayaran AS$20 (RM94.40) sebulan ke atas pengguna yang mahu mengekalkan butang ‘verified’ pada akaun Twitter mereka.

Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan baik pulih yang diumumkan Elon Musk, lapor Sputnik semalam, memetik media tempatan.

Pekerja yang terbabit dalam projek itu dimaklumkan kelmarin bahawa mereka perlu melancarkan ciri itu menjelang 7 November ini atau mereka akan kehilangan pekerjaan, lapor The Verge.

Dengan implementasi ini, pengguna perlu melanggan Twitter Blue secara bulanan untuk kekal mempunyai tanda verified pada akaun peribadi di platform tersebut, atau mereka kehilangan tanda pengesahan itu.

Lapor The Verge, pengguna verified perlu membuat langganan premium pilihan kini berharga AS$4.99 RM23.60) sebulan manakala ciri baharu yang bakal diperkenalkan, dipanggil Twitter Blue, bernilai AS$19.99 atau RM94.40 sebulan.

Musk memuktamadkan perjanjian pemerolehan ke atas Twitter dengan belian bernilai AS$44 bilion (RM208 bilion) pada Jumaat lalu, disusuli ciapan beliau kelmarin menyatakan ‘keseluruhan proses pengesahan sedang dirombak’.

Dalam perkembangan lain, aplikasi media sosial, Instagram, dilaporkan terhenti seketika semalam apabila sebilangan besar pengguna melaporkan akaun mereka dikunci.

Memetik Agensi, rata-rata pengguna tidak boleh mengakses akaun dan menerima mesej akaun mereka digantung, difahamkan akibat masalah teknikal yang dialami Instagram.

Baca juga: Berhenti di lorong kanan tanpa kon amaran, trak selenggara abai keselamatan pengguna jalan raya

Baca juga: Wisma Putra masih siasat dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban ketika pesta Halloween di Korea Selatan