Malaysia Dateline

Video ini tunjuk layanan ‘dua darjat’ rakyat Malaysia kepada Mat Saleh vs warga Nepal

Baru-baru ini, laman Twitter Big Ideas MY memuatnaik satu video yang menunjukkan perbezaan layanan rakyat Malaysia terhadap pelancong dari barat, dengan pelancong dari negara seperti Nepal.

Menerusi kapsyen video yang dikongsi, laman tersebut menulis bahawa rakyat Malaysia hanya akan melayan seseorang pelancong hanya sekiranya mereka Mat Saleh, dan perkara tersebut sebaliknya berlaku jika mereka merupakan mat Nepal atau Bangladesh.

“Tidak percaya saya? Tonton video ini. Seorang Mat Saleh datang ke Malaysia dan menerima ribuan kata-kata aluan di TikTok. Manakala seorang warga Nepal yang meninggalkan negaranya untuk mencari kerja di sini, kebanyakan rakyat Malaysia mentertawakannya,” tulisnya.

Boleh dikatakan perbandingan video berkenaan jelas terlihat seolah sebilangan besar rakyat Malaysia bersikap rasis dengan warga asing seperti Nepal dan Bangladesh.

Dalam video perbandingan yang ditunjukkan, rakyat Malaysia memberi komen-komen positif kepada seorang Mat Saleh yang membuat video sedang dalam perjalanan terbang ke Malaysia.

Kata-kata seperti ‘Selamat Datang ke Malaysia’ memenuhi ruangan komentar TikTok Mat Saleh berkenaan.

Dalam satu video yang lain pula, seorang warga Nepal memuatnaik video yang memberitahu bakal terbang ke Malaysia untuk mencari kerja di sana.

Memang lain komen-komen yang ditinggalkan rakyat Malaysia di ruangan komentar warga Nepal itu.

Antara komen yang ditinggalkan; “Dari kampung dah pegang resume, tak dapat kerja tak tahulah”. “Rasa bangga dia tu macam nak pergi Paris”. “Pergi Malaysia macam mahu pergi kerja pejabat”.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang mengakui bahawa ‘trend’ rakyat Malaysia sekarang terlalu berlebihan menyambut kedatangan Mat Saleh sehinggakan menyindir-nyindir pelancong dari Nepal dan Bangladesh.

Mereka menganggap perbuatan tersebut tidak sopan dan tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menyebabkan pelancong lain membuat tanggapan salah terhadap rakyat Malaysia.

“Terima je lah teguran. Ada betulnya dah tu dia cakap.. kena alu-alukan kedatangan tetamu tak kira warna kulit,” komen seorang pengguna Twitter.

Baca juga: Persoal orang Malaysia kahwin jemputan ramai-Jawapan pemuda ini memang padu!

Baca juga: Lelaki habiskan masa dua tahun doodle sendiri banglo putih berharga RM7 juta