Malaysia Dateline

“Walau Ismail jadi ‘poster boy’ tapi yang berkuasa adalah Zahid”, rakyat diseru tolak kleptokrat dari berkuasa

Walaupun wajah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin dijadikan bahan kempen sebagai calon perdana menteri ketika pilihan raya berjalan nanti (poster boy), namun bukan beliau yang akan menentukan siapa berkuasa kelak.

Sebaliknya, Datuk Seri Ahmad Zahid tetap berada di kerusi pemandu yang akan menentukan jalan dibuka seluasnya untuk beliau dan Datuk Seri Najib Razak kembali berkuasa.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, oleh itu rakyat perlu sedar bahawa perjuangan menolak kleptokrat yang diusahakan dengan jayanya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 masih belum selesai.

“Sejak dari awal lagi kehendak Datuk Seri Ismail, selaku Perdana Menteri untuk menangguhkan PRU-15 hingga ke tahun depan tidak berhasil.

“Ini adalah kerana kuasa sebenar tetap berada di tangan Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Presiden Umno dan Pengerusi BN. Maka keputusan tarikh PRU-15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Datuk Seri Zahid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Khalid yang sebelum ini penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu juga berkata, pembubaran Parlimen semalam membuktikan Pas sejak dari awal lagi silap langkah dalam keputusan politiknya yang natijahnya mungkin akan mengukuhkan kembali kedudukan para perompak dan penyamun di negara ini.

Jelasnya, jika politik kleptokrat kembali berkuasa, ianya adalah hasil kebodohan Pas dan Bersatu pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin. Tidak ketinggalan dalam persoalan ini adalah Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Zuraida yang telah menghidupkan kleptokrat setelah dijatuhkan rakyat dan PH.

“Pas pasti sedar bahawa usaha untuk bersama Umno sekarang adalah hanya untuk menyelamatkan kedudukan Pas yang sedang selesa berkuasa dan bukan atas nama kebenaran dan keadilan. Jika mereka menang bersama sekalipun, mereka bakal menguatkan lagi kedudukan politik perompak dan penyamun di negara ini.

“Namun, apakan daya, kekuasaan itu sangat manis dan memabukkan bagi golongan lupa daratan seperti pimpinan Pas. Semakin jelas wajah mereka sebagai penjual agama,” katanya.

Oleh itu, Khalid menegaskan supaya rakyat faham senario ini dan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya akan datang dan bangun kembali untuk menggagalkan usaha kelompok ini yang mahu berkuasa melalui PRU-15.

Baca juga: Hasil negara dijangka jatuh, dari mana kerajaan dapat wang untuk belanjawan terlalu besar?

Baca juga: Kecewa dengan politik negara, Agong tiada pilihan lain selain perkenan bubar Parlimen – Istana Negara