Syukur Datuk Seri Anwar Ibrahim telah sempurna mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 10 di hadapan Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Dengan kebijaksanaan KeBawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu telah mengakhirkan kebuntuan selama lima (5) hari akan siapakah Perdana Menteri Malaysia.
Ekoran itu, pasaran saham dan nilai mata wang turut terjejas kini melonjak naik. Semua tumpuan politik dunia dan ekonomi tertumpu keMalaysia.
YAB Perdana Menteri, setelah menulis beberapa kali tentang ramalan dan mengenai karisma Datuk Seri dan yakin bahawa DSAI merupakan calon paling layak menduduki kerusi Perdana Menteri. Namun izinkan penulis mengingatkan YAB Datuk Seri hikayat Sang Kerengga.
Hanya sebagai ingatan terhadap pengalaman 22 bulan Pakatan Harapan menerajui negara yang telah pada awal menerima sanjungan, pasukan pentadbiran yang tidak kurang hebat tetapi juga dihurungi oleh oportunis, politikus keparat dan juga sang kerengga.
Akhirnya Allah menimbulkan juga pengkhianat di permukaan yang rupanya merancang untuk mengambil alih kemanisan kemenangan. Mereka inilah kerengga-kerengga yang menghurung.
Penulis dan ramai rakyat Malaysia memerhatikan dilayar TV, akhbar dan media sosial bahawa kerengga telah mula menghurung.
Namun tidak pastilah adakah kerengga menghurung pohon mangga harum manis yang mahal atau menghurung semata-mata untuk hidup. Kerengga biasanya akan menggigit dan mengeluarkan bisa mereka keatas jari-jari dan tubuh yang menanam pohon harum manis itu.
YAB Datuk Seri, kerengga merupakan makhluk yang mempertahan dan menyerang. Kedua-dua sifat ini ada pada sang kerengga. Ia membina ‘istana’ di puncak-puncak pohon, berkoloni ada ratu, raja dan tentera, Namun, jika tiba masanya, jika mereka berasa selesa dengan koloni mereka dan pohon-pohon itu mereka boleh kuasai, mereka akan menyerang siapa sahaja. Serangan mereka adalah secara beramai-ramai dan akan menggigit dengan kuat dan tidak akan mudah melepaskan gigitan. Itulah Sang Kerengga.
Alhamdulillah kesepakatan seperti yang dititahkan oleh SPB YDA amat baik diantara pasukan utama kerajan perpaduan iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak amat baik dan padu. Namun kebimbangan penulis akan ramai sungguh yang kelihatan cuba ‘menghurungi’ Datuk Seri, mungkin ia kebaikan tetapi tidak mustahil juga ada yang cuba meniti pohon harum manis PH, BN dan GPS.
Mungkin ini hanya imaginasi penulis, akan tetapi imaginasi penulis terhadap pengkhianat dalam PKR, keterlibatan Tun Mahathir dalam memasti YAB DSAI tidak dilantik menjadi PM ke 9 dahulu, peranan PAS dalam menghuru-harakan PH dan kerakusan cita-cita Presiden BERSATU untuk menjadi PM melalui pengkhianatan menjadi realiti politik. Kerengga-kerengga ini masih ada!
Ada juga kerengga spesis baharu, yang kelihatan mahu mendampingi YAB DSAI dan pasukannya, Syukur. Namun apakah hajat mereka perlu juga diselidiki. Baru sahaja salah satu komponen PN membuat kenyataan parti mereka tidak sehaluan pula dengan PN. MasyaAllah kenapa selepas 24hb November 2022 tiba-tiba pula tidak sehaluan! Apa hajat gerangan dihati, maka tiba-tiba sahaja dari duduk sekapal mahu terjun dari kapal. Nasib baik tidak menebuk kapal.
YAB Datuk Seri, kerengga-kerengga lain kelihatan dari pelbagai sektor. Mungkin sedang mengendeng jawatan dalam GLC atau mahu mengendeng projek atau hanya mahu bergambar mesra dengan YAB Datuk Seri. Sosok-sosok yang yang dulu kelihatan menghentam, menghina dan mengaibkan Datuk Seri nampak berada sama melaungkan laungan keramat reformasi.
Biasanya kerengga tidak bersuara dan tidak menjerit, namun tiba-tiba kerengga yang menggigit ini melaungkan jeritan reformasi.
Ingatan penulis, jangan biarkan kerengga beraksi kembali menghurung dan menggigit. Kesepakatan PH, BN dan GPS amat indah serta bersama-sama sekutu lain yang jujur dan ikhlas mematuhi titah SPB YDA. Binalah Kerajaan Perpaduan ini dengan kuat, kukuh, bermaruah, utuh, berintegriti, membina tatakelola baik dan progresif. Namun ingat disana ada KERENGGA.
Penulis merupakan Fellow Islamic Academy of Sciences Jordan. Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.
BACA JUGA Terkini SPRM buka lebih 100 kekosongan jawatan mencari pegawai siasatan
JUGA Sokong Anwar untuk bawa Malaysia menjadi Harimau Asia kembali
DAN JUGA Kesatuan sekerja KTM mahu Anthony Loke dilantik semula Menteri Pengangkutan