Bantah kempen perkauman agama, 10 laporan polis dibuat seluruh negara

Oleh BORHAN AHMAD

Sekumpulan pemimpin muda Pakatan Harapan hari ini membuat laporan polis terhadap kempen yang mengajak kepada perkauman agama dan kaum semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Peguam yang mewakili kumpulan ini, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi berkata, laporan ini dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat kempen yang dibuat melalui sosial media ini menggunakan tiga akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan.

Laporan ini dibuat serentak di 10 balai polis di seluruh negara di mana setiap negeri akan dibuat satu laporan polis, kata Sany Hamzan, Ketua Biro Mobilisasi parti AMANAH.

“Kita bimbang, jika ia tidak dikawal dari sekarang ia boleh merebak dan menjadi di luar kawalan nanti,” kata Sany yang menang di Parlimen Hulu Langat dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Razak Redzuan berkata, laporan polis ini dibuat bukan tindakan membalas dendam kepada musuh politik selepas PH menang.

“Ini bukan serangan balas dendam kepada musuh politik. Kalau ia hanya memberi kesan kepada ahli dan musuh politik sahaja tak apa tetapi ia menjejas keharmonian kaum dan agama.

“Ia juga bukan soal penyokong parti mana tetapi rasis remark ini bahaya.

“Kalau ada penyokong kami terlibat, ambil tindakan yang sama,” kata beliau yang kalah di kerusi Parlimen Tasik Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.

JANGAN TAHAN PENIUP WISEL TETAPI PIHAK YANG BERSALAH

Sementara itu, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz meminta polis menyiasat pemilik akaun yang membuat penyataan perkauman bukannya orang yang mendedahkannya.

“Polis sepatutnya menyiasat juga pemilik akaun yang membuat remark perkauman sebagaimana yang dikumpulkan oleh pemilik akaun Twitter BumiLangit.

“Pihak polis tidak wajar menahan reman pemilik akaun Twitter BumiLangit sahaja tetapi tidak bertindak kepada pihak yang membuat penyataan resis itu,” kata Amira, Adun Johor itu.

Polis membebaskan pemilik akaun Twitter @BumiLangit selepas direman tiga hari kerana mendedahkan kempen-kempen resis yang dibuat sepanjang kempen PRU-15.

Pemilik akaun BumiLangit dibebaskan dari tahanan reman hari ini selepas ditahan selama tiga hari oleh polis selepas beliau mendedahkan penyataan-penyataan perkauman yang dibuat sepanjang kempen baru-baru ini.

Polis menahan lelaki itu, pada Khamis, bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

BACA JUGA PH buat laporan polis kempen perkauman, agama pagi ini

JUGA Kesatuan sekerja KTM mahu Anthony Loke dilantik semula Menteri Pengangkutan

DAN JUGA Sokong Anwar untuk bawa Malaysia menjadi Harimau Asia kembali