Malaysia Dateline

Cadangan naikkan kadar RMT akan diusul dalam Belanjawan 2023

Kadar bagi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedang dalam dalam pertimbangan untuk dinaikkan susulan seruan dari pelbagai pihak agar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mempertimbangkan membawa cadangan tersebut ke dalam usul Belanjawan 2023.

Sebelum ini pernah tular di media sosial apabila pihak pengusaha kantin sebuah sekolah didakwa menyediakan hidangan bagi pelajar RMT dengan kuantiti yang tidak munasabah.

Difahamkan, kadar RMT untuk Semenanjung masih lagi sebanyak RM2.50 bagi setiap hidangan manakala Sabah, Sarawak dan Labuan adalah sebanyak RM3.00 seorang.

“Sekarang, kita sedang sediakan kertas untuk tujuan ini (kenaikan kos RMT) di peringkat akhir. Apa paling penting kita semua kena sedar yang kita memang beri perhatian tentang perkara ini.

“Perkara ini kita sedang pertimbangkan dengan Kementerian Kewangan untuk dalam konteks Belanjawan 2023 dan kita sedang bincang untuk siapkan kertas dan dibawa ke Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara hari ini.

Beliau berkata, perkara itu memerlukan penelitian yang terperinci, kerana mempunyai implikasi yang besar dari segi kewangan sekali gus memaklumkan pihaknya sedang dalam proses untuk menyiapkan kertas untuk dibawa ke peringkat akhir.

Baca juga: “Alahai berapa urat je mi dia”, kasihan murid RMT dapat makanan macam ini

Baca juga: “Bila filem untung, pelakon tak kaya tapi dapat banyak tawaran berlakon” – Luahan Nam Ron lepas Mat Kilau cecah RM90 juta

Baca juga: Flashmob bantah barang naik: Mat Sabu dipanggil kali kedua rakam keterangan di balai