Sikap dan pandangan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sentiasa berubah dari masa ke semasa dan tidak boleh dijadikan pemimpin negara, kata bekas timbalan beliau yang kini Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu.
Oleh itu, kata Mohamad yang merupakan bekas Timbalan Presiden Pas itu, calon Pakatan Harapan di Parlimen Marang, Ustaz Azhar Abdul Shukur sangat bertuah apabila berdepan dengan Hadi yang sentiasa berubah-ubah itu.
“Bertuahlah kamu calon di Marang. Sebab pengundi di sana sudah pening. Sekejap ke sana sekejap ke sini.
“Sekarang ini, DAP, DAP dan DAP. Komunis, komunis, komunis. Dahulu DAP sahabat kite,” kata Mohamad dalam ceramahnya menerusi pentas Jelajah Mega Pakatan Harapan di Kuala Terengganu malam tadi.
Sekarang yang disebut setiap hari oleh Hadi dan pemimpin Pas yang lain adalah DAP komunis, DAP komunis, DAP, DAP dan DAP.
“Dahulu dia peluk Guan Eng tu rapat sungguh. Saya pun tak pernah peluk Lim Guan Eng macam tu. Dia peluk tu tak bau komunis ke masa tu,” kata Mohamad mengulas dakwaan Pas sekarang bahawa DAP adalah komunis.
Isu terbaru yang dinyatakan Hadi adalah menolak cadangan mengisytiharkan harta untuk calon-calon wakil rakyat khasnya bakal calon perdana menteri sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkannya sebagai satu kebodohan.
“Dahulu, semasa saya dalam Pemuda Pas, kami cadang agar semua pemimpin mengisytiharkan harta untuk menunjukkan kita ada intergriti. Dia setuju.
“Sekarang berubah pula. Dah jadi isytihar harta satu kebodohan. Yang mana nak pegang ni,” kata beliau.
Dalam ucapannya dahulu, kata Mohamad, Hadi dalam ceramah-ceramahnya sentiasa memuji DAP melangit.
“DAP tidak setuju darurat di Kelantan, DAP kawan kite.
“Tetapi bila dia berkawan dengan Umno, dah jadi lain pula. Semasa kempen di Tanjung, MCA dah jadi kawan kite.
“Jadi saya harap wartawan pergi interview dia hari-hari. Kita boleh dengar pandangan berubah sepanjang masa,” kata Mohamad ketika mengulas dakwaan Hadi bahawa mengisytiharkan harta ini satu kebodohan.
Bagi Mohamad, selain isu DAP, Pas tidak pernah ambil peduli tentang kepentingan rakyat di negara ini.
Di Kelantan, Pas tidak pernah berjaya menyelesaikan masalah air di negeri itu walaupun menjadi pemerintah sejak lebih 30 tahun lalu dan menteri yang menjaga air juga dari Pas.
Pas juga, katanya, tidak peduli wang negara dirompak dan disamun oleh pemimpin negara melalui 1MDB sebagaimana yang dibuktikan oleh mahkamah.
“Sebab itu, bila Tuan Ibrahim pergi jumpa Arulkanda, CEO 1MDB, dia boleh kata, kami berpuashati,” kata Mohamad.
Menurut Mohamad yang merupakan bekas Menteri Pertahanan itu, DAP antara pihak yang menjaga kepentingan orang Melayu khasnya anggota tentera dan bekas anggota tentera.
Dahulu, katanya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah diarahkan masuk saham RM550 juta dalam syarikat yang mengendalikan AES padahal syarikat itu sangat teruk dan rugi.
“Bila saya jadi menteri, saya mintalah agar wang LTAT ini dipulangkan kembali kepada LTAT.
“Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dari DAP inilah yang mengembalikan kembali wang milik anggota tentera dan bekas anggota tentera semula,” kata Mohamad.
JUGA Pemimpin Pas mohon maaf lepas kata undi PH, BN masuk neraka
DAN Pulihkan ekonomi, tarik pelabur fokus utama selepas bentuk kerajaan baharu