Malaysia Dateline

Saya dan Anwar Ibrahim akhir: Hubungan dengan Dr Mahathir

Apabila bercakap tentang hubungan antara Anwar dan Tun Dr Mahathir, saya sentiasa gelisah. Perut sentiasa tidak sedap dan terasa hendak tercirit sebagaimana yang dialami PM sekarang. Apabila dua gajah ini bertembung, kami anak-anak di bawah yang tersepit antara mereka.

Sebagaimana semua orang tahu, sejak PRU 2008, Anwar dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat telah berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat untuk menjadi kerajaan. Agenda reformasi menjadi taruhan. Dalam pilihan raya 2008, PR hampir menang dan dikatakan mendapat majoriti undi rakyat secara keseluruhan.

Namun sistem politik Malaysia menetapkan siapa yang mendapat kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat berhak menubuhkan kerajaan.

Menjelang PRU 2018, ketika Anwar masih di dalam penjara, entah macamana tiba-tiba Dr Mahathir bersama-sama pembangkang. Halangan utama untuk Mahathir memimpin pembangkang ketika itu adalah restu Anwar.

Untuk mendapatkan restu itu, Dr Mahathir telah beberapa kali berjumpa dengan Anwar di mahkamah dan akhirnya Anwar setuju. Perjanjian telah ditandatangani di kalangan pemimpin Pakatan, Mahathir akan menjadi PM jika menang sebelum diserahkan kepada Anwar selepas itu.

Alhamdulillah berkat kesungguhan kempen dan sokongan ramai, Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Mahathir telah menang. Namun, kekecohan berlaku dalam pembentukan kerajaan kerana ini adalah sejarah baru negara apabila buat pertama kalinya kerajaan Barisan Nasional yang sekian lama memerintah negara hendak ditukar.

Kekecohan juga berlaku selepas Mahathir mengangkat sumpah menjadi perdana menteri. Penyokong Anwar menuntut agar beliau dibebaskan segera dari penjara.

Ada dua aliran pemikiran di kalangan penyokong PH. Pertama, Anwar perlu dibebaskan melalui proses mahkamah yang adil bagi membolehkan Anwar dilantik sebagai PM tanpa sebarang isu dan bersih selepas bebas nanti. Untuk itu, kerajaan PH akan memastikan satu proses mahkamah yang adil diberikan kepada Anwar.

Namun, bagi para penyokong Anwar, beliau sudah sekian lama menunggu untuk bebas, kenapa perlu bertangguh lagi selepas peluangnya ada. Dengan sokongan dan nasihat Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agong boleh mengampun dan membebaskan Anwar.

Ekoran itulah berlaku tuduh menuduh dan fitnah memfitnah antara kedua-dua pihak. Keadaan menjadi semakin panas apabila Mahathir menolak cadangan Anwar agar diadakan mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan di Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat di mana Anwar ditahan dan dirawat, bagi membolehkan Anwar menyertainya.

Apabila suasana semakin panas, saya sebagai pihak yang berada di tengah-tengah ini adalah antara yang merasai bahangnya. Bagi saya, ia tidak boleh dibiarkan. Salah faham ini perlu diredakan segera demi kepentingan kerajaan baharu ini.

Saya telah menghubungi rakan saya semasa belajar dahulu, Shamsul Akmar yang kebetulan merupakan pegawai kanan Mahathir dan juga Dr Rahim Ghaus pegawai kanan Anwar untuk membincangkan suasana yang penuh kronik ini. Alhamdulillah kedua-duanya setuju bahawa ada isu yang perlu diselesaikan dan pertemuan perlu dibuat.

Pada mulanya, kami bercadang untuk kami bertiga sahaja yang bertemu dahulu. Saya cuba menjadi orang tengah antara kem Mahathir dan kem Anwar ini dan cuba meredakan ketegangan yang berlaku.

Tiba-tiba Dr Rahim memberitahu, Anwar mahu bertemu kami bertiga di hospital rehabilitasi Cheras, yang merupakan sebahagian dari penjara sebenarnya kerana Anwar masih lagi tahanan penjara.

Maka pergilah saya dengan Shamsul ke hospital Cheras ini. Kami terpaksa melalui beberapa lapisan sekatan sebelum sampai ke tempat Anwar dirawat dalam hospital itu. Untuk memasukinya perlukan kebenaran dan persetujuan dari orang dalam yang bersama Anwar.

Dalam hal ini, Dr Rahim lah menjadi orang hubungan kami di dalam. Perkara pertama yang Dr Rahim bagi tahu kepada saya dan Shamsul adalah, beliau sudah beberapa hari berada di situ bersama Anwar selain dari keluarga terdekatnya.

Kami dibawa ke satu bilik yang agak besar. Di dalamnya penuh dengan kerusi dan meja semacam bilik mesyuarat.

“Di sinilah sepatutnya mesyuarat PH hendak diadakan jika Mahathir setuju,” kata Dr Rahim apabila kami sampai ke bilik itu sementara menunggu Anwar datang.

Shamsul terus menerangkan cerita di sebelah Mahathir pula. Katanya, macamana Mahathir hendak setuju kerana di situ adalah sebahagian dari penjara. “Takkan kita hendak mesyuarat dalam penjara,” kata Shamsul menjelaskan kenapa Mahathir tidak bersetuju untuk mesyuarat PH diadakan di situ.

Tidak berapa lama kemudian, Anwar masuk berjumpa kami bertiga. Bagi beliau pertemuan ini diharap dapat meredakan salah faham antara penyokong beliau dan penyokong Mahathir yang sedang memuncak ketika itu.

Bagi beliau, bukan apa yang dibincangkan itu penting tetapi fakta bahawa orang kanan Mahathir datang bertemu dengan beliau dan orangnya juga sudah boleh meredakan suasana.

Banyak hal yang kami bincangkan dalam pertemuan itu. Antaranya adalah kenapa Anwar mahu bebas segera dan apa yang beliau mahu buat selepas dibebaskan. Bagi Anwar, beliau tidak mahu sama sekali mengacau pentadbiran kerajaan pimpinan Dr Mahathir dan kabinetnya selepas bebas.

“Saya mahu berehat, bertemu anak isteri dan seterusnya keluar negara untuk belajar dan mengajar sedikit sebanyak. Amerika ada offer, Turki juga membuat tawaran,” kata Anwar kepada kami bagi menceritakan kenapa beliau perlu bebas segera.

Anwar yakin, pandangan serong dan hubungan tidak baik antara beliau dengan Mahathir dapat diselesaikan selepas beliau keluar nanti.

“Cukup dengan satu kali majlis berbuka puasa, redalah tu,” kata Anwar yakin hubungan itu dapat diselesaikan.

Anwar dibebaskan dari penjara selepas kerajaan PH dibentuk dan Tun Dr Mahathir menjadi PM.

Alhamdulillah selepas dua hari pertemuan bersejarah itu, Anwar dibebaskan dari penjara. Beliau disambut umpama wira oleh penyokong beliau. Anwar bebas melalui pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong.

Selepas kira-kira seminggu Anwar dibebas, saya menyertai satu majlis berbuka puasa anjuran ABIM dan Wadah di Bangi iaitu di sebuah sekolah swasta di sana. Ramai penyokong-penyokong Anwar dahulu yang merupakan bekas pimpinan dan aktivis Abim menyertai majlis itu.

Antaranya saya bertemu dengan Datuk Tengku Tengku Hassan Omar, Exco kerajaan negeri Terengganu dari Pas yang datang khas ke Kuala Lumpur untuk menyertai majlis bersama Anwar itu.

Selepas berbuka dan berucap, sebagai wartawan saya telah datang mendekati Anwar dan disambut Anwar dengan penuh hangat.

“Terima kasih Zul,” kata Anwar ringkas. Selepas beberapa minit berlalu, Anwar datang mendekati saya sekali lagi sambil berkata, “Zul, macamana dengan Mahathir ni.”

“Ehh tak selesai lagi ke Datuk Seri,” tanya saya.

Anwar menjawab, “Takda. Sampai sekarang dia tak call saya pun.”

“Macamana dengan cadangan berbuka puasa tu?” tanya saya.

“Itulah, sampai sekarang tak ada apa-apa pun,” kata Anwar kepada saya kembali.

“Ohh ye ke. Ok nanti saya tengok apa yang saya boleh buat,” kata saya kepada Anwar.
Selepas itu, saya meninggalkan majlis bersama Anwar itu.

Dalam perjalanan balik, saya terus menelefon Shamsul Akmar tentang cadangan agar Anwar berbuka puasa bersama Mahathir sebagaimana yang kami bincangkan di Hospital Rehabilitasi Cheras tempoh hari itu.

Saya menitiskan air mata kegembiraan apabila melihat gambar ini.

Alhamdulillah, dua hari selepas itu, keluar gambar di media sosial majlis berbuka puasa antara Mahathir dan Anwar dengan disertai juga oleh Tun Dr Siti Hasmah dan juga Datuk Seri Dr Wan Azizah. Ia berlangsung di rumah Mahathir dekat dengan The Mines.

Saya masih ingat lagi, pertemuan saya dengan Anwar pada hari Jumaat malam manakala pertemuan mereka berempat pada hari Ahad malam iaitu dua hari selepas pertemuan dan percakapan saya dengan Anwar di Bangi itu.

Besoknya, pada hari Isnin, hampir semua media menyiarkan gambar pertemuan mereka berempat itu.

Alhamdulillah. Pada mata umum pertemuan itu telah meredakan ketegangan antara Mahathir dan Anwar terutama di kalangan penyokong masing-masing.

Kini sebagaimana semua tahu, hubungan antara Mahathir dengan Anwar tidak berapa baik semula. Banyak salah faham akibat tersilap cakap yang berlaku antara kedua-dua belah pihak.

Bagi penyokong Anwar, Mahathir tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Bagi penyokong PH, tindakan Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM, tanpa berbincang dengan rakan-rakannya dalam PH, yang telah menjatuhkan kerajaan PH adalah dosa terbesar Mahathir kepada mereka.

Semalam Dr Mahathir berkata, jika tahu apa yang akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan sekarang, beliau lebih rela kekal mentadbir.

Namun nasi sudah menjadi bubur. Kerajaan PH telah lama jatuh dan kerajaan PN sedang menunggu masa untuk jatuh.

Kajian yang dibuat oleh Sinar Harian menunjukan Anwar menjadi pilihan utama di kalangan rakyat negara ini jika PM baru dicari. Apakah Anwar akan berjaya menjadi PM selepas sekian lama menunggu, masa menentukannya.

Itulah sedikit sebanyak catatan saya dengan Anwar Ibrahim sejak awal pertemuan kami sehinggalah sekarang….Wallahuaklam.

TAMAT

————

TULISAN SEBELUM INI

1.Saya dan Anwar Ibrahim…
2. Saya dan Anwar Ibrahim II
3. Saya dan Anwar Ibrahim III: Reformasi
4. Saya dan Anwar Ibrahim IV: Debat Perdana