Malaysia Dateline

Saya dan Anwar Ibrahim…

Mulai minggu ini saya akan memulakan tulisan saya dalam Malaysia Dateline setelah diminta oleh kawan-kawan untuk berbuat demikian. Agak sukar sebenarnya sebab sudah lama sangat pensil dan cerita ini disimpan.

Selepas meninggalkan The Malaysian Insight beberapa tahun lalu, saya jarang benar berkesempatan untuk menulis secara rasmi terutama hal ehwal semasa. Banyak masa diberikan kepada kerja hakiki saya serta keluarga dan tanaman yang sememangnya menjadi minat saya sejak belajar di ITM dulu.

Pada tahun 1983, saya menyertai 30 lagi rakan saya, yang kebanyakannya senasib dengan saya, untuk menyertai kelas Diploma Pengurusan Ladang (DPIM) di ITM Arau (Sekarang UiTM Perlis). Ramai kalangan kami yang memasuki kelas itu dan memilih ITM Perlis yang jauh nun di sana, selepas tersangkut dalam pengajian masing-masing sebelum itu.

1983 adalah tahun penting dalam politik negara. Setahun sebelum itu, Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno. Pengumuman itu umpama bom kepada gerakan Islam yang sedang hangat menjadi tema perbincangan ketika itu di kampus Universiti Malaya (UM), kampus utama gerakan politik pelajar.

Ia menggegarkan politik kampus dan negara. Anwar yang memimpin Abim ketika itu diharapkan dapat menjadi pemimpin Pas satu masa nanti. Namun bukan Pas menjadi pilihan Anwar tetapi Umno.

Sebelum penyertaan Anwar ke dalam Umno, Abim umpama sayap kanan Pas. Pemimpin Pas seolah-olah memberikan hak kepada Abim untuk membina tapak sokongan mereka di kampus-kampus universiti bagi pihak pimpinan Pas. Mereka tidak pergi ke kampus-kampus kerana beranggapan kerja itu dibuat oleh Abim di bawah Anwar.

Saya masih ingat, ketika Anwar mahu memberikan satu ceramah di Masjid Ar Rahman, yang terletak di depan pintu pagar UM, sayalah antara orang yang menampal poster dan kertas sebaran kepada jamaah masjid bagi menjemput mereka ke ceramah Anwar itu.

Ketika Anwar memberikan pidatonya di masjid itu, barulah saya sedar, kenapa Anwar menjadi pujaan anak muda ketika itu terutama selepas beliau dibebaskan dari tanahan ISA di Kem Tahanan Kemunting.

Ucapan beliau amat memukau. Selepas beliau berceramah, hampir kesemua jamaah mengerumuni beliau kerana mahu bersalam dengannya. Saya juga sama. Ketika itulah, Anwar semakin memikat hati saya.

Apabila bersalam, Anwar akan memandang kita seolah-olah bersalam dengan seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Matanya memandang kita sambil bertanya khabar.

Itulah kali pertama saya bertemu dengan Anwar Ibrahim. Namun, itulah juga kali terakhir saya bertemu dengan Anwar sebelum beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno.

Penyertaan Anwar ke dalam Umno pada 1982 telah menggegarkan politik Pas. Dr Mahathir telah berjaya mencuri kader yang diharapkan akan memimpin Pas suatu hari nanti.

Penyertaan Anwar ke dalam Umno bukan saja menggoncang politik negara bahkan kami di UM. Semangat, ilmu dan kesedaran yang dibawa dari Masjid Rusila, Terengganu tergoncang keras ekoran tindakan Anwar ini.

BERSAMBUNG…