Saya dan Anwar Ibrahim IV: Debat Perdana

Oleh BORHAN AHMAD

Dalam tiga bahagian tulisan saya sebelum ini, saya telah menceritakan pengalaman saya dengan Anwar dari mula perkenalan kami dan kemudiannya peranan Harakah dalam membantu gerakan reformasi beliau.

Selepas gerakan reformasi dan Anwar keluar dari penjara untuk aktif dalam politik semula, hubungan saya dengan Anwar kembali normal kembali iaitu tiada ada apa-apa.

Anwar sibuk membina semula partinya selepas PRU 1999 dan 2004. Saya pula dipinggirkan dari kumpulan utama Harakah selepas Pas kalah teruk dalam PRU 2004 sehingga hilang kerajaan negeri Terengganu yang menangi pada 1999.

Saya dipinggir dari kumpulan perdana Harakah atas dakwaan saya tidak bersama kepimpinan ulama apabila menyiarkan kritikan Dr Farish Nor kepada kepimpinan ulama dalam Harakah. Dalam tulisan itu, Dr Farish beranggapan punca kekalahan teruk Pas dalam PRU 2004 adalah kerana kegagalan Pas menerangkan Dokumen Negara Islam yang disebarkan menjelang PRU 2004 sehingga menyebabkan DAP keluar dari Pakatan Rakyat. Ia secara tidak langsung menyerang kepimpinan ulama dalam Pas.

Selepas PRU 2004 itu, saya telah diminta keluar dari Harakah dan diminta menubuhkan Harakahdaily.net, laman online Harakah pada ketika itu. Namun, sebaliknya berlaku, Harakahdaily lebih popular dan berpengaruh dalam Pas berbanding dengan Harakah.

Selepas berjaya menjadikan Harakahdaily sebagai organ utama Pas, saya diminta oleh pihak pengurusan Harakah untuk turut menguruskan penerbitan sebuah akhbar politik, Siasah bersama Sayuti Omar, pemilik permit akhbar itu.

Melalui dua media baharu inilah, saya kembali rapat dengan Anwar. Itupun kerana hubungan saya dengan Saifudin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PKR sekarang.

Ia bermula apabila Anwar mahu mengadakan debat dengan Menteri Penerangan pada ketika itu, Ahmad Shabery Cheek.

Apabila Anwar mahu mengadakan debat bersejarah itu, mengenai kenaikan harga minyak yang disiarkan secara langsung pada 15 Julai 2008 melalui pelbagai saluran TV, saya telah diminta oleh Anwar untuk membantu beliau dalam debat itu.

Ini kerana, format debat itu menetapkan Anwar perlu melantik seorang wartawan atau mana-mana orang untuk bertindak sebagai pembantu beliau bagi bertanyakan soalan dalam debat itu.

Perdebatan tersebut yang bertajuk “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak” berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur.

Orang ramai menonton secara langsung perdebatan tersebut di internet melalu Global Media Channel dan BernamaTV – atau di saluran-saluran televisyen yang disiarkan oleh TV9, Astro Awani dan Bernama TV.

Perdebatan tersebut bermula dengan Anwar dan Shabery, masing-masing diberi masa empat minit sebagai pembuka bicara. Ia diikuti dengan soalan dari moderator Datuk Johan Jaaffar yang juga pengerusi DBP.

Kemudiannya dua ahli panel yang masing-masing mewakili Shabery dan Anwar bertanya soalan kepada kedua-duanyanya iaitu saya dan naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Nordin Kardi.

Menjelang debat itu, saya diberitahu oleh Saifudin, Anwar telah meminta saya membantu beliau dalam debat itu.

Di situlah, saya buat pertama kalinya pergi dan masuk ke rumah Anwar di Bukit Segambut sehingga ke dapurnya untuk berbincang strategi dan pendekatan yang perlu diambil untuk menghadapi debat itu.

Ketika itulah juga, saya mula kenal dan rapat dengan Dr Wan Azizah, isteri Anwar ketika kami makan di dapur beliau selepas berbincang mengenai debat itu.

Saya sendiri masih tertanya-tanya, bagaimana dari sekian ramai pemberita yang ada, saya dipilih untuk membantu Anwar dalam debat bersejarah itu.

Shabery sendiri memilih seorang yang dikatakan pakar dalam komunikasi dan juga naib canselor UUM, Dr Nordin Kardi yang sebelum itu adalah orang kuat Biro Tata Negara (BTN) untuk membantu beliau dalam debat itu.

Sebagaimana yang dicerita sebelum ini, saya sendiri kenal rapat dengan Ahmad Shabery Cheek ketika beliau di Universiti Malaya dan selepas itu ke Terengganu, tanah tumpah darah saya.

“Zul, jangan bagi soalan yang berat sangat ye,”kata Shabery ketika saya memasuki bilik menunggu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tempat berlangsungnya debat itu sebelum debat itu bermula ketika kami bersalaman.

Sampai kini saya masih belum jelas bagaimana saya boleh terpilih membantu Anwar dalam debat itu. Yang pasti, saya tidak boleh lagi bersembunyi di belakang tabir media selepas debat itu, kerana saya dikenali ramai selepas itu.

Ia berbeza sekali dengan sikap saya sebelum ini yang tidak mahu tertonjol ke depan tetapi lebih senang bekerja di belakang tabir media.

BERSAMBUNG…

TULISAN SEBELUM INI

Saya dan Anwar Ibrahim…

Saya dan Anwar Ibrahim II

Saya dan Anwar Ibrahim III: Reformasi