Zahid diketepi, majoriti Ahli Parlimen Umno, BN enggan keluar kerajaan PN

Oleh ARIF ATAN

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi diketepikan Ahli-ahli Parlimen partinya sendiri berhubung pendirian bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam mesyuarat semalam, Menteri-menteri Umno dilapor menolak cadangan supaya parti itu untuk keluar daripada kerajaan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin.

Desakan Zahid untuk kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari yang tamat semalam dilihat tidak mendapat sambutan Menteri-menteri dan ahli Parlimen Umno dan BN untuk membuat persetujuan bagi cadangannya untuk Umno keluar kerajaan PN.

Semua Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) kecuali Najib Razak dan seorang lagi Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan langkah keluar dari kerajaan PN, lapor MalaysiaNow.

Susulan itu, dakwaan sebelum ini kononnya Ahli Parlimen Umno dan BN akan membuat keputusan keluar dari kerajaan PN malam tadi tidak berlaku.

Malah, lapor Agenda Daily, permintaan Zahid dan Najib untuk mengadakan pertemuan secara individu dengan setiap Ahli Parlimen Umno ditolak sebaliknya mereka mahu dipanggil serentak.

Pertemuan tertutup pimpinan tertinggi Umno yang dihadiri Zahid di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Tekpi, Off Jalan Padang Tembak, di ibu negara malam tadi juga tidak disusuli dengan kenyataan rasmi.

Menurut sumber, mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9.00 malam sehingga lewat malam tadi dipengerusikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Keselamatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang disebut sebagai Ahli Parlimen yang bersama Najib dan Zahid menganggap keputusan kerajaan PN membuka sidang Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ seperti dilakukan ‘ala kadar’ saja.

“Maka Ahli Parlimen akan menjadi seperti ‘rubber stamp’ bukan lagi penggubal undang-undang, pembuat dasar, pemberi idea dan cadangan bagi manfaat rakyat dan negara,” dipetik BH malam tadi.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu dilapor enggan mengulas apabila ditanya mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Biro Politik Umno mengenai keputusan terbaharu kerajaan itu.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran turut mengesahkan tiada perbincangan untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN, lapor BH lagi.

Serentak dengan tempoh 14 hari dinyatakan Zahid yang berakhir semalam, kerajaan PN menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan sidang Dewan Rakyat akan bermula 26 Julai ini selama lima hari manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 Ogos depan.