Menteri Agama singgah Zoo Melaka beri gajah makan

Oleh ARIF ATAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilihat selamba boleh singgah ke Zoo Melaka semalam.

Aksi bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu memberi makanan berupa nanas kepada gajah dikongsikannya sendiri di Twitter malam tadi.

“Saya dimaklumkan juga haiwan di Zoo Melaka kekurangan bekalan makanan.

“Dalam kesempatan yang ada, kami ke Zoo Melaka dan menyampaikan sumbangan kepada staf Zoo Melaka yang memerlukan, juga haiwan-haiwan di sana,” katanya.

Terdahulu, dia yang pernah dijangkiti Covid-19 tahun lepas memberitahu berada separuh hari di Melaka meninjau rumah asnaf yang dibaikpulih oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui projek Is’ad al-Usrah, di Kampung Tedong Darat, Merlimau.

Walau bagaimanapun, kunjungan menteri agama berkenaan ke zoo mengundang kritikan orang ramai apabila dilihat bercanggah dengan portfolio.

Tindakannya itu juga mengundang persoalan ketika ramai rakyat pada masa ini terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk terputus bekalan makanan sehingga tercetusnya gerakan bendera putih.

Kerajaan juga melarang aktiviti rentas negeri di seluruh negara pada masa ini kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Untuk rekod, Zulkifli pada Mei lalu dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mencegah penularan Covid-10 ketika majlis tahnik anak kedua penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kehadiran Zulkifli dalam majlis tahnik selebriti popular berkenaan pada 26 April itu turut mengundang kritikan pendakwah yang mengaitkan dengan soal fiqh al-waqi’ iaitu fiqh realiti.

Bahkan, dia sebelum ini dilihat sebagai menteri yang kerap ke sana dan ke sini sepanjang pandemik Covid-19 sebelum disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober tahun lalu selepas mengunjungi Sabah sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 24 September.

Dua minggu sebelum dijangkiti Covid-19, Zulkifli telah merasmikan pelbagai acara yang dihadiri ratusan peserta serta merentasi banyak negeri iaitu Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Zulkifli bersalaman di Kuala Terengganu, 25 September tahun lalu iaitu 10 hari sebelum dia disahkan positif Covid-19.

Sepanjang kunjungannya ke lima negeri itu, Zulkifli, 52, dilihat tidak mengamalkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menjaga penjarakan fizikal malah menurunkan pelitup mukanya ke dagu semasa menyampaikan bantuan di Kampung Serusup, Tuaran pada 24 September.

Dia juga dilihat bersalaman dengan seorang warga emas di Kuala Terengganu dalam keadaan merapatkan mukanya ke tangan individu berusia lanjut itu pada 25 September serta mentahnik sepasang bayi kembar di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 27 September.

Orang ramai juga heboh mempersoal kehadiran Zulkifli memberikan khutbah dan tazkirah ringkas pada hari pernikahan artis dan usahawan kontroversi, Neelofa, 32 dan Haris Ismail atau PU Riz, 26, pada Mac lalu yang melanggar SOP.

Menteri Agama merentas negeri singgah zoo selepas santuni asnaf semalam.